‘Dahlia ada ilmu agama, dia akan nampak jalan’

Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Ariffin, 52, mengakui tindakan anaknya, Dahlia merupakan antara ujian yang perlu dihadapi sebagai seorang ibu.

“Kami memang kurang baca komen, kalau baca pun sikit-sikit je. Apa-apa pun sebagai seorang ibu, semua orang ada anak dan akan diuji.

Saya mohon doa dan minta yang baik-baik. Sebagai ibu saya selalu berkomunikasi dan nasihat dengan cara baik.

“Bagi saya benda ini sekejap saja, orang muda kan,” katanya kepada Hibglam.

Jelas pelantun lagu Hanya Satu itu, Dahlia yang kini berusia 21 tahun sudah tahu membuat keputusan sendiri dan yakin suatu hari nanti anaknya akan menyedari kesilapan yang dilakukan.

“Dia dah baligh, tahu apa yang baik atau tak. Kita cuma nasihat dan keputusan semua pada dia.

Tapi saya yakin sebagai anak yang ada ilmu agama, satu masa nanti dia akan nampak sendiri jalan.

“Kita doa saja, anak-anak begitulah, ” ujarnya.

Mengulas mengenai keadaan anaknya, Nora berkata Dahlia berada dalam keadaan baik dan memahami situasi yang berlaku.

Kami baik-baik sahaja, alhamdulillah selalu berhubung dan semuanya okey.

“Kita faham situasi dan dia pun tiada masalah sangat,” katanya lagi.

Sebelum ini, Dahlia hadir ke Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) dengan penampilan baharu tanpa hijab.

Dia menjelaskan tindakan tersebut dilakukan bagi memulakan perjalanan baharu dan memahami agama dengan lebih mendalam.

Menurut Dahlia, keputusan menanggalkan tudung selepas 15 tahun berhijab turut disokong penuh keluarganya termasuk ibu dan abangnya.

Untuk rekod, Dahlia merupakan anak perempuan kepada Nora dan komposer Allahyarham Johan Nawawi.

Nora mendirikan rumah tangga dengan Johan pada 1992 yang meninggal dunia pada 24 Mac 2017 akibat serangan jantung. – HIBGLAM