Seperti tajuk lagu, begitu jugalah hangatnya setiap anggota kumpulan X-Factor yang dianggotai Danny, Zack, Fendi, Shah dan Ivan.
Setiap seorang daripada mereka memiliki pakej lengkap sebagai artis. Berbekalkan wajah tampan, mereka turut laris sebagai pelakon dan model iklan komersial.
Namun seperti ‘boy band’ lain, jangka hayat kumpulan yang ditubuhkan KRU Music itu tidak bertahan lama.
Selepas 10 tahun bersama, masing-masing terpisah membawa haluan masing-masing. Namun Ivan terlebih dahulu meninggalkan X-Factor dan posisinya digantikan Jim yang sebelum itu merupakan anggota kumpulan Trez.

KUMPULAN X-Factor yang terdiri daripada Fendi, Jim, Zack, Danny dan Shah.
Ketika itu, Danny dan Zack dilihat masih aktif, sesekali wajah mereka menyerikan bidang lakonan, tiga lagi anggota lain pula sepi tanpa khabar. Danny juga pernah tular dengan kisahnya yangselesa menjadi pemandu kenderaan e-hailing.
Kemunculan semula X-Factor semasa konsert Elite baru-baru ini sebetulnya satu kejutan, ramai kembali teruja. Rata-rata memuji penampilan setiap anggota X-Factor yang masih kacak bergaya dan mampu menyanyi dengan baik.
Ditanya bagaimana kemunculan semula tersebut terjadi, kata Danny mereka disunting Icon Entertainment untuk terlibat dengan konsert Elite.
Bila Icon Entertainment hubungi saya untuk kumpulkan semula X-Factor, saya beritahu mereka kena hubungi setiap seorang kerana kami sudah lama ‘lost contact.’
“Jadi Shah yang gigih mencari semula setiap seorang dan akhirnya berjaya berkumpul semula. Bila Fendi dan Zack setuju saya rasa macam biar betul. Cuma Ivan sahaja yang tidak lagi mahu melibatkan diri.
“Kami semua bertemu semula selepas 15 tahun buat kali pertama di rumah Fendi. Ketika itu tak boleh nak jelaskan macam mana perasaan. Rasa seperti jejak kasih.
“Kami saling berpandangan satu sama lain,” cerita Danny.

SELEPAS hampir 15 tahun hilang dari radar, X-Factor buat kali pertama berkumpul atas sebuah pentas menerusi konser Elit Live ‘25 pada 20 September.
Zack pula menyifatkan kerjaya X-Factor sebagai penyanyi sudah bertemu noktah lebih sedekad lalu. Namun apabila difikirkan semula dan mengenang kenangan lama, dia tergerak hati untuk kembali semula.
“Bila kami lihat diri masing-masing, kami tak percaya yang kami mampu kembali. Rasa seperti zaman kami sudah berakhir.
Tetapi bila difikirkan semula, kenapa tidak? No harm trying,” jelasnya.
Fendi yang kini berkhidmat di syarikat perbankan terkemuka pula mendedikasikan kemunculan semula ini buat anak-anak.
“Sewaktu bersama X-Factor dulu kami semua masih belum kahwin. Kini semua sudah berkeluarga.
“Jadi kami ingin tunjukkan kepada mereka bahawa kami juga pernah menjadi penyanyi satu ketika dahulu,” katanya yang melepaskan gian menyanyi dengan membuat persembahan dalam acara anjuran syarikat korporat.
Kembali solo selepas bercerai buat kali kedua, seorang lagi anggota, Shah menumpukan perhatian terhadap kerjayanya di gimnasium.
“Sejak bersama X-Factor lagi saya memang suka gimnasium. Kini masih lagi di gimnasium berkhidmat sebagai jurulatih kecergasaan. Saya suka ‘dera’ orang,” katanya berseloroh.
Kongsi Shah lagi, proses menghimpunkan semula anggota X-Factor agak sukar memandangkan ada yang sudah lama menyepi dan menukar nombor telefon. Dengan bantuan beberapa rakan dia berjaya menghubungi semua anggota X-Factor.
Mengimbau semula kenangan zaman kegemilangan, antara momen yang tidak dapat dilupakan apabila van dinaiki mereka diserbu peminat.
“Ketika itu rasa seperti artis K-pop BTS. Peminat fanatik kerumun van kami ketuk-ketuk tingkap. Ada peminat yang pengsan,” kata Zack.
Ditanya adakah mereka terbuka seandainya mendapat tawaran untuk menyertai program televisyen seperti Gegar Vaganza, X-Factor bersedia untuk pertimbangkan sebarang tawaran.
“Sekarang kami baru buat kumpulan WhatsApp. Apa yang diperlukan sekarang ada seorang pengurus untuk menguruskan kerjaya kami supaya lebih mudah kerana masing-masing punya kerjaya sendiri,” kata Danny. – HIBGLAM