Campur tangan pihak ketiga takkan berakhir kecuali ditangani – Nora

Bagaimanapun, Nora atau nama lengkapnya Wan Norafizah Ariffin, 52, menegaskan campur tangan pihak ketiga membuatkannya mahu meneruskan proses perceraian.

“Tuan Hakim ada menyebut bahawa jika semuanya sudah baik, beliau meminta saya menarik balik permohonan perceraian.

Namun, selepas perbincangan secara jujur saya katakan, memang saya boleh menarik balik permohonan itu tetapi masalahnya tidak akan selesai begitu sahaja.

“Campur tangan pihak ketiga tidak akan berhenti kecuali ditangani secara tuntas. Saya percaya dan yakin pihak hakim serta mahkamah membuat keputusan yang terbaik. Maka, saya akan ikut prosedur yang ditetapkan,” katanya kepada HibGlam ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, hari ini.

Sementara itu, anak sulungnya yang juga wakil hakam keluarga, Mohd. Syakir Iman, 32, memberitahu Hakim Mahkamah Rendah Syariah turut mempersoalkan alasan perceraian kerana melihat hubungan plaintif dan defendan masih wujud kasih sayang serta perdamaian.

Tadi, dalam sesi perbicaraan kami mengemukakan laporan daripada majlis tahkim bagi peringkat hakam keluarga. Namun begitu, hakim nampaknya tidak berpuas hati dengan laporan tersebut.

“Justeru, beliau memutuskan untuk melanjutkan kes ini ke peringkat seterusnya pada 21 Oktober nanti yang akan berlangsung pelantikan hakam islah daripada panel mahkamah sendiri.

Kami sebenarnya berusaha sedaya upaya, tetapi hakim masih tidak berpuas hati dengan alasan serta jawapan terhadap persoalan-persoalan yang dikemukakan.

“Peguam pihak plaintif juga mencadangkan agar sesi tahkim seterusnya dijalankan dengan panel daripada mahkamah sebagai hakam untuk mengadakan perbincangan bersama plaintif, defendan dan pihak ketiga,” jelasnya.

Ditanya mengenai alasan hakim tidak berpuas hati dengan laporan, Syakir mengakui campur tangan pihak ketiga menyebabkan permasalahan antara ibunya dan Dr. Rusdi terpaksa diselesaikan di mahkamah.

“Antara alasannya, hakim bertanya kerana pada pandangan beliau, keadaan antara kedua-dua pihak masih baik. Jawapan kami juga menunjukkan bahawa antara plaintif dan defendan masih wujud perdamaian dan kasih sayang

Secara peribadi, saya rasa isu sebenar antara ibu saya dan Ustaz Rushdi, jika hanya melibatkan mereka berdua, tidaklah besar.

“Nampak jelas Ustaz Rushdi menjaga hak ibu saya dan melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik.

Namun, pihak ketiga ini kadang-kadang muncul bukan setiap hari tetapi apabila ‘serangan’ berlaku, kesannya sangat ketara. Jadi, kami berharap sama ada masalah ini dapat dihentikan atau pihak tersebut perlu dipertanggungjawabkan,” jelasnya lagi.

Hari ini berlangsungnya pembentangan laporan wakil hakam pertama iaitu hakam keluarga, di mana Nora melantik anak sulungnya, Mohd. Syakir Iman sebagai wakil, manakala Dr. Rusdi melantik anak sulungnya, Muhammad Shahkir, 34, sebagai wakil.

Pada 21 April lalu, Nora memfailkan permohonan perceraian selepas tercetus pelbagai konflik susulan hantaran Instagram yang memaparkan video lafaz cerai Rushdi terhadapnya.

Selepas sebulan mengumumkan perceraian, Nora bagaimanapun memaklumkan dia dan suami sudah kembali rujuk.

Sebelum ini, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh dan Usul, Universiti Malaya pada 2021.

Nora sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga bersama komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.

Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – HIBGLAM