‘Kalau beri pistol, kami sudah tahu apa nak buat’

Pernah memegang gelaran filem terlaris pada 2023 menerusi sekuel ketiga, naskhah terbitan Astro Shaw tersebut cemerlang dalam kelas tersendiri.

Boleh dikatakan juga, karya tersebut tidak mampu terbang tinggi tanpa lakonan hebat bintang utamanya, Shaheizy Sam dan Zizan Razak.

Terharu dengan sambutan dan sokongan peminat yang tidah berbelah bahagi, Zizan mengakui Polis Evo banyak mengubah kehidupannya sebagai anak seni.

Katanya yang memegang watak sebagai Inspektor Sani, Polis Evo meletakkan satu penanda aras tinggi terhadap dirinya sebagai seorang pelakon.

“Tanpa sedar, sudah 10 tahun usia filem pertama Polis Evo yang banyak mengubah kehidupan seorang Zizan Razak. Rasa seperti macam baru sahaja tayang.

Polis Evo adalah salah satu filem terbaik yang pernah saya buat. Produksi, pelakon dan respons penonton sangat hebat.

“Menerusi filem ini juga telah buka mata banyak pihak bahawa saya mampu berlakon dalam sebuah filem aksi selain melawak sehingga tercalon dalam kategori Pelakon Lelaki Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-28,” katanya kepada HibGlam.

ZIZAN menegaskan kesemua sekuel Polis Evo bukan sahaja menghidangkan jalan cerita hebat tetapi kualiti setaraf filem antarabangsa

Bercerita lanjut, Polis Evo 1 dan 2 memberi kesan terhadap jiwanya sehingga bergelut untuk ‘keluar’ dari emosi wataknya.

“Untuk semua filem, kami mula berlatih dan bersedia setahun sebelum mula penggambaran termasuk menggunakan senjata api. Hari ini kalau beri pistol, kami sudah tahu apa nak buat, terutama Sam.

Karakter Sani adakalanya buat saya ’anxiety’ sehingga pernah terfikir adakah akan diserang mana-mana pihak jika pulang ke hotel.

“Tidak tahulah sama ada sebab terlalu mendalami watak atau sebab lain, kemudian Polis Evo 2 sangat ‘dark’, ambil masa sebulan lebih juga untuk keluar daripada kerisauan itu,” jelasnya.

Namun, di sebalik cerita kelam itu, terselit momen manis apabila dia menerima layanan seperti pasukan beruniform yang sebenar.

Impak watak Sani memang luar biasa, kadang-kadang ada individu unit beruniform pun tabik kepada saya bila berjumpa.

“Kalau budak-budak pun, mereka akan jerit Inspektor Sani! Beri kesan dan saya gembira bahkan buat saya semakin berdisiplin,” katanya lagi.

Kualiti, contoh

Dalam masa sama, Zizan menegaskan kesemua sekuel Polis Evo bukan sahaja menghidangkan jalan cerita hebat tetapi kualiti setaraf filem antarabangsa.

Saya pernah tertanya-tanya sama ada mampukah kita untuk hasilkan filem aksi yang hebat tetapi selepas siap, hasilnya buat saya terkejut dan buka mata banyak pihak.

“Polis Evo juga ibarat satu titik permulaan atau lonjakan untuk industri kita. Sebenarnya kalau digali-gali, banyak lagi yang kita boleh buat untuk industri ini.

Cuma kita je sibuk nak jadi Korea, Hollywood sedangkan kita tak teroka betul-betul ‘barang’ sendiri.

“Kita masih lagi ada banyak benda yang tak beritahu kepada dunia apa yang kita ada,” ujarnya.

Sempat berkongsi, dia mendedahkan seorang pengarah asal Indonesia pernah menjadikan filem-filem aksi lakonannya termasuk Polis Evo sebagai sumber rujukan.

Saya pernah dipanggil oleh sebuah produksi Indonesia dan buat kajian tentang saya melalui filem Cicakman dan Polis Evo.

“Rasa sangat bangga sebab mereka puji walaupun Polis Evo sebuah filem aksi tetapi diselitkan juga elemen budaya seperti wayang kulit dan dialek negeri.

Kemudian babak paling dia suka ialah walaupun banyak aksi tembak-menembak, makan tetap guna tangan dan sebut bismillah.

“Kenapa kita tak sedar benda tu sedangkan ada banyak lagi karya yang boleh buat orang luar kagum,” ujarnya. – HIBGLAM