‘Cukuplah sekali sertai Asia Bagus, sampai sekarang menyesal’

Lebih tiga dekad sejak mula bertapak sekitar 1989, Amy tetap utuh sebagai antara wajah ikonik hiburan tanah air.

Dengan tujuh album studio, filem pecah panggung dan drama popular, mustahil pesona wajah ayu dan suara manja itu tidak melekat dalam ingatan rakyat Malaysia.

Saat berpeluang bertentang mata dengan bintang berusia 54 tahun itu, penulis mengambil kesempatan menyingkap rahsia ‘kehilangan’ panjangnya seraya bertanya apakah yang membuatkan Amy memilih untuk berundur sedikit demi sedikit daripada dunia seni.

Jawapannya, bukan kerana merajuk, jauh sekali kecewa, sebaliknya Amy meyakini hidup ini ada fasanya.

Jika dahulu kerjaya jadi nadi utama, kini nalurinya lebih cenderung untuk memperlahankan langkah, seiring kematangan usia.

Malah dengan deretan album meledak sejak 1994, pemilik nama sebenar Amy Mastura Suhaimi itu belum mempunyai sebarang rancangan mengadakan konsert solo, apatah lagi persembahan berskala kecil.

Meskipun ramai rakan seangkatan tampil kembali ke pentas konsert, Amy atau nama penuhnya Amy Mastura Suhaimi merasakan sudah tiba masa untuk memperlahankan tempo muzik.

Saya bangga dengan keberanian dan kesungguhan mereka dalam muzik, saya doakan mereka sukses. Kalau lagu saya masih didengar peminat di Spotify, itu pun sudah memadai.

“Bukan kerana merajuk dengan industri, tetapi mungkin faktor umur membuatkan saya fikir sudah tiba masa untuk melangkah perlahan.

“Buat masa ini, tiada perancangan untuk konsert atau ‘showcase’. Dengan usia sekarang, elok saya perlahankan. Bukan bermaksud bersara, saya tetap ada di celah-celah,” katanya kepada HibGlam.

SEIRING peningkatan usia, fokus Amy kini adalah mencari bekalan untuk akhirat.  

Paling penting kata pelantun lagu Sha Na Na itu, pilihannya memperlahankan kerjaya muzik adalah keputusan peribadi, namun andai ada rezeki baharu di depan mata, tiada penolakan.

Saya fikir kalau kerja kerajaan, dengan umur begini saya sudah pun pencen. Jadi, eloklah tumpukan perhatian kepada mencari bekalan akhirat.

“Ini pilihan saya sekarang, tetapi tidak berani janji akan kekal begitu kerana hati manusia mudah berbolak-balik,” ujarnya.

Mengulas mengenai tawaran menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV), pelakon filem Puteri Impian itu terus-terang kurang berminat.

Katanya, tekanan pertandingan sebegitu tidak lagi sesuai dengan jiwa lembutnya.

“Setiap tahun mereka tawarkan saya sertai GV, tetapi saya tetap menolak. Saya memang tidak gemar pertandingan.

Cukuplah sekali waktu saya sertai Asia Bagus di Jepun pada 1993, sampai hari ini saya masih menyesal.

“Memang tak mahu lagi sertai apa-apa pertandingan. Apabila masuk bertanding, jiwa jadi kacau, stres pun datang. Saya tidak suka perasaan sebegitu.

Lagi pun, saya sedar kemampuan diri. Saya tidak sehebat artis lain yang masuk GV.

“Jadi, buat apa perlu sertai kalau sudah tahu kemampuan sendiri,” tutupnya.

Dalam perkembangan lain, Amy bakal kembali memeriahkan pentas menerusi teater Cik Ros, sebuah pementasan tribut untuk Allahyarham Dr Rosminah Mohd Tahir iaitu tokoh seni persembahan yang pernah mengangkat martabat teater tanah air.

Naskhah arahan Hamzah Tahir, yang juga adik Allahyarham Rosminah tersebut bakal berlangsung selama tiga hari di Balai Budaya Tun Syed Nasir, DBP bermula 19 September depan.

Barisan pelakon turut dihiasi nama-nama besar seperti Datuk Tarmimi Siregar, Datuk Ziela Jalil, Juhara Ayob, dan Liza Abdullah. – HIBGLAM