Meerqeen atau Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam, 24, berkata, perkara itu dilakukan atas dasar tanggungjawab sebagai pelakon, selain direalisasikan di bawah pemantauan profesional.
“Apabila masuk bidang ini, saya sanggup buat apa sahaja demi karakter. Sebagai pelakon, saya bukan hanya terbabit dengan cerita cinta, ada masa kena buat adegan lasak.
Dalam menjiwai watak, pelakon perlu bersedia dan tahu risiko. Jika tak sanggup buat, jangan terima. Tapi semuanya berbalik kepada latihan dan persediaan rapi.
“Penggambaran babak lasak bukan perkara yang boleh ambil mudah, perlu diselia jurulatih profesional untuk meminimumkan risiko,” katanya ketika ditemui pada majlis tayangan bersama peminat episod akhir drama Thariq Ridzuwan: His Treasure, semalam.
Pada masa sama, aktor yang membawakan watak utama dalam naskhah adaptasi novel itu turut mengakui kepentingan mengambil pelindungan insurans.
Rumah produksi ada mengambil insurans berkelompok untuk pelakon dan kru sebelum penggambaran tetapi saya memang dari dulu ada insurans peribadi,” ujarnya.
Mengulas lanjut drama arahan Eyra Rahman itu, Meerqeen mengakui watak Thariq Ridzuwan sangat berat apabila perlu bermain dengan emosi.
Atas sebab itu, dia mengambil pendekatan kurang bergaul dengan pelakon lain di lokasi terutama karakter yang berseteru dengan Thariq bagi mengekalkan mood.
Sejak hari pertama di set penggambaran saya dah ‘kunci’ watak Thariq. Memang tak banyak bergaul dengan orang lain sehingga penggambaran berjaya disempurnakan dalam tempoh dua bulan.
Selain Meerqeen, drama 16 episod yang mula bersiaran 23 Julai lalu di Astro Ria itu turut dibintangi Qasrina Karim, Edaman Othman, Evertts Gomes, Thompson Goh, Noki K-Clique dan pempengaruh, Nasuha Sulaiman. – HIBGLAM