Demikian maklum balas pelakon dan ahli perniagaan, Nadiyah Shahab mengulas spekulasi perceraian dengan aktor Ben Ali yang heboh diperkatakan sejak tahun lalu.
Masih berteka-teki, Nadiyah atau nama sebenar Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab, 32, berkata hanya masa yang akan menentukan segala-galanya.
“Seiring masa berlalu, mungkin dalam beberapa tahun lagi kalian semua akan tahulah,” katanya ketika ditemui pada majlis pra-pelancaran Absolute Bazasr X Festival Raya 2026.
Katanya, keutamaan sekarang adalah perniagaan yang diusahakan bersama biarpun berdepan dengan spekulasi rumah tangga.
“Syarikat kami, Absolut memang hasil usaha bersama. Kami percaya pada rezeki, sama ada kami bersama atau tidak, perniagaan tetap berjalan.
“Tambahan pula kami memang rapat dan tiada masalah untuk bekerjasama. Kalau tiada kami, tiadalah Absolut, sebab itu kena ada dua-dua,” ujarnya.
Hadir bersama Ben atau Nur Ali Nadzwan, 32, juga rakan kongsi perniagaan, Nadiyah mengakui mereka tetap akrab walau apa pun berlaku pada masa depan.
“Macam inilah, kami memang tak boleh berpisah. Di mana-mana pun akan sentiasa ada Ben dan Nadiyah. Kita kan kerja sama-sama. Macam mana nak berpisah? Kalau tak kerja sama mungkin boleh berpisah,” ujarnya.
Senada dengan wanita yang dikahwini lapan tahun itu, Ben memaklumkan andai ditakdirkan hubungan berakhir, mereka kekal bersahabat, apatah lagi keluarga mereka juga sudah akrab.
“Bagi saya, kalau katakanlah saya dah tiada dengan Nadiyah tiada apa-apa dan dia pun dah ada orang lain, kami tetap akan terus rapat.
“Orang baru pun kena terima bahawa saya dengan Nadiyah tak boleh berpisah sebab kami sebelum kahwin pun kawan baik,” katanya.
Menurut Ben lagi, spekulasi kemelut dalam perkahwinan mereka tercetus disebabkan jarang tampil berdua di media sosial mahupun pada acara hiburan.
Bahkan dia turut menegaskan tidak bimbang andai timbul kekeliruan mengenai status mereka seperti diperkatakan memandangkan hal berkenaan terlalu subjektif.
“Status rumah tangga tak jadi masalah, mungkin jarang nampak kami bersama dan dari situ netizen rasa kami dah tak bersama. Kami kerap keluar berdua, cuma tak tunjuk di media sosial.
“Jangan fikir bukan-bukan, doa yang baik-baik sahaja. Lagipun, saya dengan Nadiyah sangat sibuk. Dia banyak ke luar negara termasuk ke Turki dan Vietnam, manakala saya ke London atas urusan kerja lain.
“Sama ada kami masih suami isteri, itu perkara subjektif. Status kami macam itu sahaja, pandai-pandailah netizen fikir sendiri, cuma saya minta doakan yang baik-baik. Jangan fikir bukan-bukan, kita doa yang baik-baik, benda yang baik berlaku,” katanya.
Terdahulu, spekulasi keretakan rumah tangga pasangan terbabit timbul sejak tahun lalu apabila mereka didakwa tidak lagi sebumbung, namun dinafikan aktor terbabit.
Ben dan Nadiyah bernikah di Singapura pada 10 November 2018, namun belum dikurniakan cahaya mata. – HIBGLAM