‘Ada cinta tidak berakhir seperti diimpikan…’

Kedua-dua karya terbitan Rocketfuel Entertainment itu mempunyai kaitan antara satu sama lain, saling berkait untuk menggambarkan kerinduan terhadap seseorang.

Kata Hael atau nama lengkapnya Hal Husaini Razmi, Peluk yang disampaikan secara duet dengan Nadeera mengangkat tema hubungan jarak jauh (LDR) dengan harapan untuk kembali bersatu.

“Sejujurnya kedua-dua karya ini sarat emosi. Peluk menggambarkan kerinduan tidak berpenghujung dan saya percaya ramai yang melalui fasa hubungan LDR.

Lagu ini saya tulis sebagai bingkisan rasa rindu. Kadang-kadang rindu itu pahit, tapi di dalamnya tetap ada keindahan,” katanya sarat makna.

PELUK merupakan duet kedua Hael bersama penyanyi Nadeera selepas lagu raya berjudul Meriah Lain Macam yang cukup popular pada musim Aidilfitri lalu.

Ujar Hael, lebih istimewa apabila Peluk juga merupakan gandingan semula bersama penyanyi bersuara lunak, Nadeera iaitu selepas kejayaan lagu raya mereka, Meriah Lain Macam.

Saya senang bekerja dengan Nadeera. Dia seorang penyanyi yang sangat jujur dalam menyampaikan emosi. Vokalnya menjadikan Peluk lebih hidup dan manis,” ujarnya.

Tidak hairan apabila keistimewaan lagu itu membuatkan ia dipilih sebagai lagu tema rasmi (OST) drama bersiri Astro, Mandul Bukan Pilihan lakonan Mira Filzah, Hun Haqeem dan Ayda Jebat, manakala Alangkah pula dijadikan sebagai OST untuk drama bersiri Thariq Ridzwan, lakonan Meerqeen dan Qasrina Karim.

Kata Hael lagi, Alangkah membawa nuansa yang lebih melankolia dan reflektif, sekali gus menggambarkan cinta tidak kesampaian bersama harapan tergantung sepi.

Saya tulis Alangkah berdasarkan kisah sebenar orang-orang yang terdekat. Ada cinta yang tidak berakhir seperti diimpikan.

“Tetapi dalam setiap kepedihan itu, ada sesuatu yang indah untuk dikenang,” kongsinya.

ALANGKAH adalah luahan rasa mengenai cinta tidak kesampaian bersama harapan tergantung sepi.

Akui jejaka berusia 37 tahun itu, melodi balada syahdu serta lirik mendalam menjadikan Alangkah sebagai karya yang sesuai untuk menemani momen kesedihan.

“Kedua-dua lagu ini pada asalnya dirancang untuk dimuatkan dalam album Antonim: Part II.

“Namun, selepas diperdengarkan secara eksklusif semasa konsert Hael Husaini & Repertoire, permintaan tinggi mendorong Rocketfuel Entertainment untuk melancarkannya lebih awal sebagai single digital.

Ramai peminat terus bertanya bila lagu ini akan dilancarkan. Saat itu, saya sedar bahawa betapa pentingnya muzik ini buat mereka. Ini bukan sekadar lagu, tapi sesuatu yang benar-benar menyentuh mereka,” kongsinya.

Refleksi perasaan

Bagi Hael, setiap karya adalah satu bentuk refleksi perasaan dan berharap agar pendengar dapat menemui cerminan diri mereka dalam kedua-dua lagu ini.

Peluk mungkin jadi penguat untuk mereka yang merindui, manakala Alangkah jadi peneman untuk mereka yang terluka.

“Jika lagu-lagu ini mampu menemani mereka dalam perjalanan hidup, itu sudah cukup membahagiakan saya,” katanya. – HIBGLAM