Sebelum ini Daniesh pernah menjadi bualan, namun bukan kerana produk seninya tetapi lebih kepada kisah bersama artis sensasi, Bella Astillah.
Disebabkan itu, ada cakap-cakap sumbang yang mengatakan dia cuba menumpang populariti teman baiknya itu.
“Orang salah faham, ingat saya bergaduh dengan Bella kerana tidak lagi buat konten bersama. Sebenarnya kami masih bertemu tapi di belakang tabir.
Sejujurnya saya hormat situasi Bella sekarang. Saya pun tak mahu ‘interframe’ momen dia bersama Syed Saddiq.
Tambah pelantun lagu Mahligai itu lagi, dia tidak mahu ‘kacau daun’ memandangkan Bella dan Syed Saddiq mempunyai kelompok peminat tersendiri yang dikenali sebagai BASS.
Saya gembira untuk Bella dengan apa yang dia sedang kecapi sekarang. Kita tahu sudah bermacam perkara yang dia hadapi sebelum ini.
“Saya tidak mahu menjadi penyebab menyumbang perspektif negatif masyarakat terhadapnya.
“Bukan cuba menjauhi diri, tidak lama lagi kami akan ada projek bersama. Jadi nanti peminat dapat lihat kami berdua,” kongsinya.

IMPIAN Daniesh untuk berduet dengan sepupunya, Azharina tercapai menerusi lagu Gunung Kinabalu – SYAKIR RADIN
Meski namanya masih belum kukuh dalam arena seni negara, Daniesh enggan mengaku kalah.
Menurutnya, rezeki dan tuah pasti berpihak kepadanya satu hari nanti.
“Sejujurnya saya pernah juga tertanya-tanya bila lagu saya akan menjadi hit. Saya sudah ada lapan lagu.
Menyanyi merupakan minat saya. Jadi saya tidak akan mudah berputus asa dan teruskan kerjaya ini.
“Saya percaya rezeki untuk saya pasti akan tiba, cepat atau lambat hanya Allah sahaja yang tahu,” ujarnya.
Gunung Kinabalu
Mengulas perkembangan terkini, Daniesh baru sahaja melancarkan lagu duet bersama sepupunya, penyanyi Azharina Azhar berjudul Gunung Kinabalu.
Menurut Danish, lagu itu dicipta sendiri arwah datuknya dan pernah dinyanyikan ibunya satu ketika dahulu.
“Lagu ini merupakan karya legasi yang dicipta sebelum saya lahir lagi. Saya dan Azharina rasa bertanggungjawab untuk teruskan legasi ini.
Idea untuk kolaborasi ini disuarakan Azharina sendiri kerana dia merupakan peminat lagu Gunung Kinabalu sejak kecil.
“Jadi kami sepakat nyanyikan semula dan beri nafas baru. Alhamdulillah, impian saya untuk berduet dengan Azharina tercapai akhirnya,” katanya yang berharap lagu itu dapat diterima ramai. – HIBGLAM