‘Masih mahu jadi Presiden Duda Malaya, mungkin 10 penggal lagi’

PELAKON Sharnaaz Ahmad menyambut baik berita rakan artis, Fattah Amin bakal mendirikan rumah tangga.

Sharnaaz atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Basir Ahmad, 40, bagaimanapun secara berseloroh masih mahu kekal memegang jawatannya sebagai Presiden Duda Malaya.

“Saya masih tamak dengan jawatan saya sebagai Presiden Duda (ketawa). Mungkin saya hendak memegang jawatan itu sepenggal atau 10 penggal lagi.

Saya tidak tahu soal jodoh kerana itu semua rahsia Allah. Kalau dipertemukan jodoh, boleh saja terus hendak menikah.

“Sekarang saya sudah cukup bersyukur, Allah beri saya begitu banyak rezeki. Cuma jodoh sahaja belum lagi, kalau Allah nak bagi Dia akan bagi,” kata Sharnaaz.

Bercakap soal jodoh, Sharnaaz menegaskan dia tidak tergesa-gesa mahupun terlalu mencari kerana percaya jodoh akan tiba pada waktu yang tepat.

“Saya tidaklah memilih sangat, hendak kata cari wanita yang perfect 10 tidak juga. Rasanya biarlah jodoh datang tanpa saya cari, itu lebih baik.

“Jika saya yang beria-ia mencari, belum tentu wanita itu boleh sayang saya seperti mana saya sayang dia,” tutur Sharnaaz ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Magik Rompak malam tadi.

Namun begitu, duda anak satu itu mengakui ada didekati wanita tetapi memilih untuk berkawan sahaja buat masa ini.

Ada yang cuba mendekati dan ada yang saya cuba dekati, tapi tahap berkawan saja tidak lebih daripada itu. Memang tidak ada hubungan yang serius.

“Saya gembira dengan kehidupan sekarang, cuma akan terasa sunyi dan memerlukan teman apabila saya sakit, buka puasa dan hari raya.

“Selebihnya saya sibuk dan ketika bekerja saya dikelilingi ramai orang jadi, saya okey hidup sendirian,” ujar Sharnaaz.

Terdahulu, Sharnaaz pernah mendirikan rumah tangga dengan usahawan Noor Nabila pada 31 Mac 2017 dan berpisah pada 9 Julai 2020.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Jebat Jayden yang kini berusia tujuh tahun.

Sementara itu, Sharnaaz kini dalam fasa berehat kerana keadaan kesihatannya yang agak merudum.

Saya demam on off hampir dua minggu. Selepas jalani pemeriksaan di hospital memang ada sedikit masalah pada bahagian perut, namun tidaklah kritikal. Tetapi kalau tidak dirawat boleh jadi kritikal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sharnaaz muncul dengan filem terbaharu berjudul Magik Rompak yang telah mula ditayangkan di pawagam bermula 5 September lalu.

Filem arahan Adrian Teh itu turut dibintangi Zul Ariffin, Amelia Henderson, Nadhir Nasar, Yasmin Hani, Elvina Mohamad, Miller Khan, Tay Ping Hui dan Fabian Loo. -HIBGLAM