Majlis intimasi membabitkan beberapa rakan karib itu bertemakan putih dan biru sebagai tanda kesucian cinta yang dipercayai berlangsung di sebuah bilik hotel di ibu negara.
“Allahumma Barik.”
Demikian kapsyen berupa kalimah doa yang diucapkan untuk memohon agar Allah memberikan kebaikan, keberuntungan, dan rahmat kepada bakal pengantin.
Video momen manis yang juga kejutan buat Amira atau nama sebenarnya Nadia Amira Othman, 31, itu dikongsikan usahawan Nellysa Aina menerusi platform Reels.
Kelihatan bakal raja sehari yang anggun menggayakan abaya serta tudung putih terkejut apabila disambut sorakan temannya sebaik membuka pintu.
Selain diraikan dengan kek, Amira kelihatan malu-malu apabila dipakaikan selempang bertulis ‘getting hitched’ atau bakal bernikah.
Semalam, Fattah, 35, membuat kejutan lamaran ketika Amira dan adiknya, Irfan Haris menyanyikan lagu duet terbaharu berjudul Rasa & Takdir pada majlis pelancaran single tersebut di sebuah hotel.
Sekali gus, teka-teki mengenai hubungan istimewa mereka yang diperkatakan sejak Januari lalu iaitu ketika fasa awal mendakwa hanya rakan sekerja terjawab.
Spekulasi hari jadi Fattah iaitu 14 September sebagai tarikh pernikahan yang sebelum ini dinafikan akhirnya disahkannya sendiri pada pengumuman berkenaan.
Sebelum ini, kecoh di media sosial mendakwa kedua-dua personaliti popular itu bakal disatukan dalam tempoh terdekat namun ditangkis Fattah mahupun Amira.
Terdahulu, pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu pernah mendirikan rumah tangga dengan aktres Fazura pada 27 November 2017 namun mereka bercerai selepas tujuh tahun.
Perkahwinan mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia lima tahun. – HIBGLAM