Lebih indah, isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad itu tampil memainkan biola yang merupakan hadiah daripada Siti.
Malah, pemilik nama lengkap Siti Nurhaliza Tarudin, 46, sempat berkongsi rasa sebak mengalunkan lagu Gubahanku di sisi Tun Siti Hasmah sewaktu sesi latihan sebelum acara bermula.
Saya bersyukur kerana dapat bersama-sama dengan Tun Hasmah, sepentas dan menyanyi dengan iringan biola yang saya hadiahkan kepada beliau beberapa tahun lalu.
“Sebenarnya sewaktu latihan sebelah siang, saya sebak dan sukar menyempurnakan nyanyian, namun saya kuatkan hati agar malam ini saya dapat menyanyi dengan baik,” katanya
Siti yang sebelum ini pernah bergandingan dengan Hasmah turut berasa terharu apabila dimaklumkan bahawa beliau gigih berlatih demi menjayakan persembahan tersebut.
“Saya ada berkongsi ‘minus one’ lagu Gubahanku bersama pihak OTM dan Tun sendiri untuk sesuaikan dengan nada suara saya.
Saya sendiri terharu apabila Tun bercerita beliau berlatih dan alhamdulillah persembahan beliau malam ini (semalam) sangat mengagumkan,” jelasnya.
Turut hadir menyaksikan persembahan tersebut adalah Tun Dr Mahathir Mohamad; Canselor MMU, Tun Zaki Tun Azmi; Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Mohd. Yusri Mohd Yusoff dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Istana Budaya (IB), Johan Cruyff @ Mohd Johari Md Nordin.
Selain Gubahanku, Siti turut mempersembahkan lagu solo berjudul Badarsila dan Kurik Kundi dengan iringan OTM.
Kira-kira 3,000 penonton turut dihiburkan dengan pelbagai persembahan nyanyian, tarian, alunan muzik dan seni bela diri gabungan OTM serta bakat-bakat dari MMU.
Majlis turut diserikan dengan penampilan Bob Yusof yang mempersembahkan beberapa lagu. – HIBGLAM