Drama siri tujuh episod itu sarat dengan emosi dan mengetengahkan penceritaan bahasa yang mencerminkan keunikan rakyat Malaysia berbilang kaum.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran McDonald’s, Chin Mei Lee, siri tersebut adalah kesinambungan terhadap komitmen jenama dalam mencipta detik-detik bermakna dan manis untuk dirasai setiap pelanggan.
“Kisah dalam Senyuman ini memaparkan realiti yang sangat dekat dengan kehidupan masyarakat.
Pihak kami sangat komited untuk mencipta detik-detik indah yang menceriakan rakyat Malaysia, sama ada melalui hidangan, layanan mahupun karya kreatif sebegini.
“Semoga kami mampu mengukir senyuman pada wajah setiap penonton drama ini,” katanya.
Sementara itu, Jack Tan yang memegang watak sebagai Ming mengakui emosi yang dipersembahkan untuk siri ini berat untuk diterjemahkan.
Meskipun hanya berdurasi satu minit setiap episod, Jack Tan berterima kasih kepada Nabila dan Lim Jian Wen kerana banyak membantunya memberikan hasil terbaik.
“Saya tertarik dengan emosi karakter Ming kerana mencerminkan realiti kehidupan segelintir individu yang melalui fasa kesunyian dalam diam.
Jadi, drama ini membuktikan bahawa rasa kesepian dan keseorangan itu dapat diatasi apabila wujud perkara atau momen yang mampu mengembalikan senyuman serta kegembiraan terhadap mana-mana individu,” ujarnya.

NABILA menyifatkan peluang bergandingan dengan Jack Tan dan Jian Wen sebagai satu pengalaman luar biasa yang cukup menyeronokkan.
Tambah Jack Tan lagi, dia cenderung untuk menerima tawaran tersebut kerana mahu merungkai sendiri emosi watak Ming dan bagaimana McDonald’s mampu membawa kegembiraan dalam hidup seseorang.
“Naskhah ini menarik sebab buat saya tertanya-tanya tentang karakter Ming, tambah pula tiada banyak dialog.
Selain itu, menterjemahkan emosi kepada ekspresi tanpa sebarang dialog memang sukar. Ini satu cabaran besar untuk saya.
“Harap ramai yang dapat rasakan kesedihan itu,” jelasnya.
Nabila pula gembira kerana berpeluang menjayakan projek tersebut apatah lagi dia digandingkan dengan Jack Tan yang disifatkan sebagai seorang pelakon hebat.
“Sebagai peminat filem Abang Adik, peluang bergandingan dengan Jack Tan ini adalah luar biasa dan tidak buat saya rasa janggal pun berlakon bersamanya.
Sangat seronok dapat bekerja dengan pelakon yang sudah membintangi filem-filem hebat walaupun pada awalnya agak gementar juga nak bergandingan dengan dia,” kata Nabila.
Mengulas tentang cabaran Nabila berkata, ini merupakan pengalaman pertama berlakon dalam naskhah pendek yang dihasilkan dalam bentuk vertikal.
“Kalau cakap fasal cabaran, tidaklah terlalu banyak tetapi ini pertama kali saya berlakon untuk drama yang diterbitkan dalam saiz vertikal dan berdurasi pendek.
Belajar benda baharu sebab ruang ‘frame’ lebih kecil, jadi pergerakan agak terhad berbanding berlakon drama televisyen.
“Kemudian, sebarang reaksi pun tidak boleh lama sebab satu minit sahaja. Mencabar tetapi seronok belajar benda baharu,” ujarnya.
Senyuman berkisarkan tentang Ming yang melalui fasa kesepian dan kemurungan sejak terpisah dengan adik kandungnya. June yang merupakan rakan sekerja cuba mendalami emosi Ming dan berusaha membawa keceriaan dalam kehidupan jejaka berbangsa Cina itu.
Dihasilkan sebanyak tujuh episod, Senyuman boleh ditonton menerusi media sosial rasmi McDonald’s termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube bermula 7 Ogos lalu. – HIBGLAM