Demikian maklum balas penyanyi Datuk Nora Ariffin yang mengakui masih berkomunikasi dan menjalankan tanggungjawab sebagai isteri biarpun dalam proses permohonan perceraian dengan suaminya, Dr. Rushdi Ramli.
Ditanya sama ada masih tinggal sebumbung, Nora atau nama lengkapnya Wan Norafizah Wan Ariffin, 51, berkata, hubungan mereka kekal baik bahkan suaminya tetap pulang ke rumah kelamin mereka.
‘Hubungan saya dengan suami macam biasa, cuma kami sekarang sibuk dengan kerja masing-masing.
Kalau temankan saya ke mana-mana tiada tetapi dia ada bertanya khabar, masih balik dan menjenguk rumah sebab kami lagi ada ikatan,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah Petaling, di sini, hari ini.
Ditemani kakak angkat, Rafeah Ariffin, Nora tiba di mahkamah pukul 9 pagi bagi proses laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) prosiding kes perceraian dengan Rushdi sebelum bergegas ke kamar bicara.
Dalam proses tersebut, penyanyi lagu Di Persimpangan Dilema itu diwakili Rafeah, manakala suaminya memilih rakan, Syamsul Omar sebagai wakil JKP.
Pada masa sama, Nora turut mengharapkan yang terbaik bagi apa sahaja keputusan JKP pada hari ini.
Saya minta yang terbaik sebab kami sudah berbincang. Kita berserah kepada pihak mahkamah. Apa sahaja keputusan saya terima,” ujarnya.
Pada 19 Mac, beliau mengejutkan ramai apabila memuat naik foto hadir di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat bagi memfailkan perceraian selepas didakwa didesak pihak ketiga.
Rushdi kemudian tampil menyebelahi isteri keduanya itu, selain mengakui menerima tekanan daripada pihak lain agar berpisah dengan wanita terbabit.
Terdahulu, Nora pada Ogos tahun lalu diceraikan dengan talak satu oleh suaminya menerusi sebuah video yang dimuat naik dalam Instagram.
Situasi itu mengundang tanda tanya apabila dia memuat naik video Rushdi melafazkan cerai dengan memberitahu segala-galanya sudah selesai.
Begitupun, mereka difahamkan kembali rujuk ketika dalam idah iaitu dua bulan selepas mengumumkan perceraian.
Nora menjadi isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya sekitar akhir 2021.
Dia sebelum itu pernah mendirikan rumah tangga dengan komposer, Allahyarham Johan Nawawi pada 1992 dan dikurniakan empat cahaya mata.
Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung. – HIBGLAM