Faizal atau nama lengkapnya, Mohd. Faizal Hussein, 58, berkata, dia enggan mencetuskan rasa kurang selesa di lokasi penggambaran dengan tindakan tegas biarpun ada dalam kalangan pelakon menimbulkan masalah di set penggambaran.
Saya tak pernah tegur sesiapa mengenai kerja mahupun lakonannya. Dia ulang babak lapan kali pun, saya tak pernah tegur. Saya lebih kepada menjaga hati.
“Saya rasa daripada tegur orang contohnya dalam lingkungan tujuh hari penggambaran super telemovie, hal jadi panjang hingga selepas selesai tempoh penggambaran.
“Tujuh hari itu akan habis, penggambaran akan tamat dan disempurnakan dengan baik tanpa saya menyakiti hati sesiapa, mengherdik siapa-siapa. Itu lebih baik,” katanya ketika ditemui di pelancaran Kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia kelolaan Astro, baru-baru ini.
Menurut aktor yang hampir lima dekad dalam industri seni itu, dia tidak mahu fokus pelakon lain terjejas sekali gus memberi impak terhadap kualiti kerja.
Setiap kali terbabit dalam sesuatu produksi, saya akan pastikan suasana di lokasi harmoni. Pada saya perasaan pelakon tidak boleh dikacau. Tidak boleh ada pergaduhan, herdikan atau salah faham.
“Apabila ada tekanan, ia akan mengganggu fokus serta emosi pelakon lain. Akhirnya, mutu lakonan pun terjejas,” ujarnya.
Begitupun, penggalas watak ikonik Azroy dalam filem Gila Gila Remaja itu mengakui pernah melalui pengalaman ditegur senior namun perkara tersebut membentuk dirinya untuk menjadi lebih matang dan berdisiplin.
Ketika awal dulu saya ada juga diherdik pelakon senior tapi saya tak ambil hati atau menganggap itu sebagai buli.
“Kalau ikut umur, kadangkala kita kena juga ambil nasihat artis senior. Mungkin disebabkan perbezaan usia, mereka tak faham apa yang pelakon senior cuba sampaikan. Saya pun masa muda mungkin begitu,” katanya.
Sebelum ini, seorang pelakon mendakwa diherdik bintang veteran, bahkan rentetan itu namanya juga digugurkan daripada produksi terbabit. – HIBGLAM