Begitulah yang dilalui Hafiz Suip atau nama penuhnya Mohamad Hafiz Mohamad Suip dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini apabila ibaratnya, ‘ada dalam tiada’ di industri muzik tanah air.
Namanya pernah gah suatu ketika dulu, namun memilih untuk menyepi pastinya mengundang tanda tanya ramai yang rindu melihatnya beraksi di mana-mana program atau konsert.
Demi peminat, berbekalkan kekuatan yang dibaja selama beberapa tahun, Hafiz bakal muncul dengan konsert Di Sebalik Aku di MegaStar Arena, Kuala Lumpur 1 November depan.
“Lama juga untuk saya bersetuju menerima tawaran konsert ini dari SAH Entertainment tetapi kuasa Tuhan, hati saya terbuka.
“Konsert ini hadiah buat para peminat dan untuk berkongsi rasa, namun bukan ingin meraih simpati mahupun membuka aib.
Ini ruang dan peluang untuk saya bercerita kepada penonton tentang perjalanan hidup dan karier yang selama ini banyak menjadi tanda tanya ramai,” katanya kepada HibGlam baru-baru ini.
Jelasnya, konsert solo tersebut bakal mencipta sejarah dalam lipatan sejarah kerjaya seninya selepas 16 tahun bergelar penyanyi.
“Kalau orang tanya sama ada konsert ini akan jadi sangat beremosi, saya tiada jawapan dan perlu tunggu pada hari kejadian.
Cuma yang akan saya janjikan, penonton membawa pulang memori manis dan dapat ‘sing-along’ lebih 15 buah lagu pada malam itu.
“Dari segi persiapan, stamina pastinya menjadi kerisauan terbesar selain menjaga suara. Insya-Allah semua akan baik-baik sahaja, penganjur juga banyak membantu,” tuturnya.
Terbuka bercerita tentang dirinya, penyanyi berusia 35 tahun itu bersyukur dikurniakan peminat yang sentiasa menyokong dan tanpa lelah memberi semangat selama ini.
Dalam masa sama, dia menganggap semua yang dilalui sebelum ini sebagai satu pengajaran terbesar dalam hidup sehingga membentuk dirinya yang baharu ketika ini.
Tiada rugi atau sesalan tetapi saya ambil semuanya sebagai pengalaman. Kalau tak hadapi, saya tidak akan tahu apa akan berlaku.
“Saya tahu ramai yang prihatin sehingga ada satu fasa rasa mereka menyibuk untuk tahu kehidupan saya.
“Kemudian saya sedar, semua itu tanda mereka masih ambil berat dan sepatutnya saya syukur daripada tidak ambil tahu langsung,” jelasnya yang sudah bercerai dengan bekas isteri, Nureffy Jasreel Abdullah pada Mei lalu.
Beban
Dia mengakui beban dan rasa yang ditanggung selama ini sedikit ringan selepas berkongsi beberapa perkara dalam sebuah video baru-baru ini.
“Rasa sangat lega tapi paling penting, berdamai dengan takdir dan segala perkara.
“Sejak itu saya mula kenal makna reda, syukur dan kedamaian selain menemui ketenangan yang sebenar.
Perkataan berdamai itu dengar macam mudah tetapi hakikatnya tidak. Namun alhamdulillah hidup saya tenang — belajar berdamai dengan segala-galanya dan untuk dapatkannya, kembali kepada Maha Pencipta,” kongsi bapa kepada dua cahaya mata lelaki itu.
Bukan sahaja sudah aktif menyanyi, anak kelahiran Kuching, Sarawak itu juga memberitahu dia kini kembali aktif dalam media sosial.
“Kalau kalian perasan, akaun Instagram saya pun sudah aktif semula untuk berkongsi konten berkaitan kerja.
Kali ini tak tutup akaun media sosial lagi, menyesal. Itu sahaja platform berkomunikasi dengan peminat” ujarnya.