‘Mungkin tidak cantik di mata mereka, kita semua berubah’

Fatiya atau nama lengkapnya Nur Fathia Abdul Latiff, 38, menegaskan bahawa penampilan fizikal seseorang tidak akan kekal selamanya dan setiap individu berhak melalui perubahan dalam hidup.

“Saya tahu penampilan saya sudah berubah. Saya bukan lagi seperti dahulu dan saya dengar bisikan, komen serta penilaian daripada orang yang langsung tak tahu apa saya lalui.

“Kita semua berubah dan saya juga begitu,” katanya dalam Threads.

Dalam masa sama, pelakon drama popular Ariana Rose itu turut menegaskan kecantikan bukan terletak pada paras rupa semata-mata sebaliknya pada kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup.

“Kecantikan bukan terletak pada wajah yang pernah saya miliki.

“Ini terletak pada cara saya bertahan, terus melangkah walaupun dunia cuba mematahkan saya.

“Walaupun saya mungkin tidak cantik di mata mereka, saya tetap dengan diri saya dan itu sudah memadai,” ujarnya.

Sebelum ini, Fatiya yang sering dikritik kerana pengambilan suntikan botok sebagai rawatan kecantikan meluahkan kesedihan tentang perubahan pada wajahnya sehingga ada yang tidak mengenalinya lagi.

Dia juga pernah meluahkan perasaan enggan mengendahkan kata-kata orang tentang perubahan wajahnya yang menjadi bualan ramai terutamanya dalam media sosial. – HIBGLAM