Demikian reaksi usahawan dan pempengaruh Datuk Seri Aliff Syukri apabila berjaya mencatat MBOR selepas koleksi beg tangan denimnya habis disambar sehingga meraih jualan lebih RM1 juta dalam tempoh kurang tiga minit.
Perkara tersebut disahkan Pegawai The Malaysia Book Of Records, Puan Siti Nurhanim Mohd Noh menerusi penyerahan sijil rasmi sejurus selepas sesi jualan secara penstriman langsung sebentar tadi.
Pencapaian tersebut sekali gus mengatasi rekod terdahulu yang dipegang pempengaruh dan usahawan Khairul Aming, yang menjual sambal Dendeng Nyet dalam masa 3 minit 39 saat pada Februari tahun lalu.
Bagaimanapun, jumlah unit beg tangan yang terjual dalam masa 2 minit 32 saat dalam siaran langsung tersebut tidak dinyatakan secara rasmi.
Dalam siaran langsung terbabit, semua ahli keluarga Aliff bersorak gembira apabila semua unit beg tangan habis terjual.
“Kalau papa mati, ini pencapaian terhebat papa, terima kasih semua rakyat Malaysia, yang benci dan puji saya, pembeli, pempempengaruh, artis dan media yang terlibat dengan kempen ini. Terima ibu ibu saya, isteri dan anak-anak yang menyampah dengan perangai saya. Tanpa kalian semua saya tak capai semua ini,” kata Aliff beremosi.
Beg tangan keluarannya dilancarkan secara rasmi pada pukul 8 malam selepas beberapa bulan menjalankan promosi dalam media sosialnya.
Sementara itu, isterinya iaitu Datin Seri Shahida berterima kasih kepada pembeli yang sentiasa menyokong perniagaan mereka sekeluarga.
“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang sokong mama, papa, anak-anak dan semua (pasukan) yang ada di sini.
“Tanpa kalian tiadalah kami. Kami bukan senang sangat sebelum ini.
Kami ada di sini atas sokongan anda yang tak putus-putus menyokong walaupun pelbagai cabaran dan dugaan. Masih ramai yang sayang,” katanya dalam siaran langsung berkenaan.
Difahamkan, setiap pembeli yang membuat bayaran dalam sesi siaran langsung berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah berupa sebuah kereta, motosikal, pakej umrah, pakej percutian ke Sugeh Resort, barangan kemas dan perkakasan elektrik kepada 1000 pembeli bertuah.
Sebelum ini, Aliff memasang hasrat untuk berkongsi rezeki dengan golongan anak-anak yatim sekiranya impian mencipta MBOR berjaya direalisasikan. – HIBGLAM