Namun, Abby berkata, dia sebagai manusia tetap mendoakan yang terbaik dan berharap agar Sajat akan berubah satu hari nanti.
“Di mana silapnya saya kata Sajat baik? Dia memang baik dan tidak pernah menyokong menjadi wanita.
“Saya cuma ajak semua doakan yang baik-baik untuk Sajat.
“Nak kata Sajat dah lama macam itu sudah nasihat tak berubah pun. Hidayahkan milik Allah SWT,” katanya dalam InstaStory.
Tambah Abby, dia hanya menjalankan tugas sesama manusia iaitu saling mengingatkan dan selebihnya menyerahkan segala perancangan hidup setiap individu kepada Tuhan.
Ujarnya, tindakan segelintir individu mengecamnya bergambar dengan Sajat dianggap tidak adil sementara masih ada yang menyokong termasuk memuji golongan LGBT seperti wanita berpewatakan lelaki iaitu pengkid dan ‘tomboy’.
“Tugas kita mengingatkan saja. Satu hari nanti, insya-Allah. Apa yg dipakai dan digayakan itu antara dia dengan Allah, siapa kita nak menilai?
“Sajat nampak jelas kelemahannya sebab berpakaian seperti wanita tetapi yang pengkid dan ‘tomboy’?
“Berpakaian macam lelaki kalian nampak okey sahaja. Siap puji-puji lagi nampak kacak semua. Bertudung tapi lesbian tak mengapa?
“Sebab itu jangan menghakimi orang, Allah lebih mengetahui,” ujarnya.
Terdahulu, hantaran Abby yang memuat naik fotonya bertemu Sajat di sebuah festival di Singapura baru-baru ini dibanjiri komen negatif.
Selain foto, terdapat netizen yang kurang senang dengan pujian Abby terhadap Sajat iaitu menggelarnya sebagai ‘Barbie’ sekali gus mendakwa dia seakan menormalisasikan golongan LGBT. – KOSMO! ONLINE