Hati hancur, Bella Astillah bersuara demi keadilan buat Zara Qairina

TERKESAN dengan kematian pelajar yang didakwa terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama iaitu Zara Qairina, penyanyi Bella Astillah mengakui hatinya hancur melihat penderitaan ditanggung remaja seawal usia itu.

Malah, Bella atau nama lengkapnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah, 31, menegaskan pihak sepatutnya perlu tampil untuk bertanggungjawab atas insiden yang membawa kepada pemergian pelajar berusia 13 tahun itu.

“Adik Zara Qairina, 13 tahun, anak Sabah, perginya dalam keadaan penuh tanda tanya. Dikatakan dibuli, disakiti tapi sampai hari ini belum ada siapa yang tampil bertanggungjawab.

“Tepuk dada, tanya selera. Kalau ini berlaku pada anak kita sendiri, sanggupkah kita berdiam? Sebagai seorang ibu dan juga Sabahan, hati saya hancur.

“Bayangkan, anak kecil jauh daripada keluarga, menghadapi semuanya seorang diri. Kenapa sampai begini baru kita mula buka mata? Takkan kita nak biarkan saja apatah lagi melibatkan nyawa!

“Siapakah orang yang sepatutnya bertanggungjawab memantau mereka di asrama tempat dimana ibu bapa meletakkan sepenuh kepercayaan mereka di sana. Allahu, di mana letaknya perikemanusiaan kamu semua,” katanya dalam hantaran Instagram.

Dalam pada itu, pelantun lagu Lebih Indah Berpisah itu turut menyeru masyarakat agar tidak memandang ringan isu buli selain memberi perhatian lebih terhadap kesihatan mental serta keselamatan pelajar yang berjauhan daripada keluarga.

“Seorang anak kecil, di usia muda begitu, terpaksa menanggung penderitaan yang tak sepatutnya. Buli bukan hal remeh.

“Jangan kita diam, atau tunggu ada lagi Zara yang lain. Tolonglah pantau anak-anak kita.

“Dengarkan, didik mereka supaya jadi manusia yang ada empati, bukan yang kejam,” katanya lagi.

Tidak akan berdiam diri, ibu kepada dua orang anak itu akan terus memperjuangkan hak Zara Qairina dan mendoakan agar keadilan berpihak kepada arwah Zara.

“Zara bukan sekadar nama dalam berita, dia adalah anak kita juga. Kita gagal bila anak-anak terbiar dalam sistem yang membuatkan hati dan menutup kebenaran.

“Saya doakan keadilan yang akan datang. Saya akan terus bersuara untuk Zara. Semoga Allah SWT tempatkan adik Zara di syurga tertinggi.

“Salam takziah dan kekuatan buat keluarga yang sedang berduka cita. Al Fatihah buat adik Zara Qairina,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang pelajar tingkatan satu sebuah sekolah di Papar yang dipercayai menjadi mangsa buli meninggal dunia selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga sekolah tersebut.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu. -HIBGLAM