‘2 bulan lepas, 3 kali rebah, tengah berjalan tiba-tiba jatuh’

Menerusi satu hantaran dalam Insta Story, Andi atau nama sebenarnya Azrul Andi Mapangile, 34, berkata, insiden tiga kali rebah secara tiba-tiba dua bulan lalu sememangnya menjejaskan kekuatan kakinya, meskipun puncanya tidak dapat dikongsi secara terbuka.

“Aku tengah ada masalah dengan kaki. Dua bulan lepas, aku rebah tiga kali, tengah berjalan tiba-tiba jatuh. Kenapa perkara itu berlaku, aku tak boleh beritahu. Tapi sejak itu, kaki aku memang terjejas,” katanya.

Menurut penyanyi kelahiran Sabah itu, tidak ramai yang mengetahui keadaan sebenarnya, namun kini dia dalam proses pemulihan termasuk mula berjinak dengan sukan pickleball sebagai satu usaha menguatkan semula otot kaki.

“Walaupun tak ramai tahu, sebenarnya beri kesan besar. Aku dapat rasa beza, kaki aku dah tak sekuat dahulu. Aku main pickleball sebab nak latih semula daya tahan dan pergerakan kaki,” ujarnya.

Mahu hidup sihat, pelantun lagu Satu Peluang itu juga semakin menjaga pemakanan dan kesihatan selepas ditegur pihak produksi semasa menjalani satu penggambaran sekitar tahun lalu akibat sedikit berisi. Dia bagaimanapun berkata, usaha itu dilakukan atas pilihan sendiri dan bukannya paksaan sesiapa.

“Boleh berhenti tanya kenapa aku kurus. Aku kurus untuk diri aku sendiri, bukan untuk sesiapa. Tahun lepas aku gemuk, muka nampak kembang waktu penggambaran.

“Sampaikan ada double chin, aku terpaksa ubah posisi muka di depan kamera,” katanya.

Andi turut menegaskan dia tidak mengambil sebarang ubat kurus atau bahan terlarang bagi menurunkan berat badan secara drastik.

“Aku tak ambil Ozempic atau dadah. Alhamdulillah, aku jauh daripada benda itu. Aku cuma makan dua kali sehari dalam kuantiti kecil. Makan malam aku tak ambil, hanya makan buah-buahan. Jadi tak perlulah risau. Aku sihat dan okey, Alhamdulillah,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai insiden yang menyebabkan kakinya terjejas, Andi turut menolak sebarang kaitan dengan unsur mistik seperti yang pernah dialaminya sebelum ini.

“Tentang insiden itu, tiada kaitan dengan unsur mistik. Ia berlaku semasa penggambaran. Sumpah, insiden itu memang beri kesan kepada keadaan aku sekarang. Aku harap aku tak perlu buat lagi ‘scene’ (babak) seperti itu,” tambahnya.

Untuk rekod, sekitar awal tahun 2021, Andi pernah mendedahkan dirinya mengalami kemurungan selepas menjadi mangsa sihir.

Gangguan itu memberi impak besar terhadap kesihatan mental dan perjalanan kerjayanya termasuk beberapa kejadian aneh seperti paku karat yang dikatakan keluar dari tekaknya serta penemuan katak kering di atas bumbung rumahnya. – HIBGLAM