Berdamailah Shila, Amy, sampai bila nak bergaduh

Perkara tersebut dimaklumkan menerusi InstaStory dan difahamkan Shila berdepan ‘anxiety’ apabila melalui situasi menakutkannya itu di hadapan semua kru di tempat awam.

Rentetan itu, pemilik nama lengkap Nurshahila Amir Amzah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, KL dan kes dibuka di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah). 

Polis mengambil keterangan empat individu termasuk suspek dan Timbalan Ketua Polis KL, Datuk Mohamed Usuf Jan Mohamad juga mengesahkan serangan berlaku akibat rasa tidak puas hati suspek kerana Shila mencampuri urusan keluarganya. 

Layangan hantaran InstaStory tersebut membuatkan ramai berteka-teki sama ada penyanyi dimaksudkan adalah Datuk Amy Search atau Datuk Awie yang turut membuat persembahan pada konsert terbabit. 

Serabut nama terus dikaitkan meskipun tiada kaitan, Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhari Othman tampil menggesa Amy Search tampil memberi penjelasan berhubung kontroversi, sekali gus menamatkan spekulasi.

Namun, sepanjang insiden terjadi Amy dan isterinya iaitu Datin Norhasniza Hassan atau Norish tidak memberikan sebarang komen mahupun respons. 

Nabila Huda

Bagaimanapun anak Amy iaitu pelakon Nabila Huda mencuri perhatian apabila didakwa ‘menyindir’ wanita berstatus Datin yang dikatakan perangai tidak berubah dan sukar menerima pendapat orang lain. 

Tanpa memetik sebarang nama, pelakon berusia 41 tahun itu juga meminta tiada pihak yang terasa akan kata-kata tersebut.

Dalam masa sama, Nabila yang lebih mesra disapa Abil menyelar tindakan wanita tersebut apabila tidak menyebelahi suaminya ketika  berdepan kemelut yang menimbulkan kekacauan dalam industri. 

Tidak lama kemudian, Shila pula membuka mulut mendedahkan suspek adalah bapa Nabila danmenjelaskan hanya memberi sokongan kepada rakannya itu yang mendedahkan konflik keluarga sejak April lalu. 

Begitupun, Shila menegaskan komennya dalam laman sosial  bukan bermaksud mencampuri urusan keluarga orang.

Pelantun lagu Pernah Punya Aku itu juga menasihati orang ramai supaya berhenti mengaitkan Abil sambil menegaskan ada ‘tangan ajaib’ dan kuasa luar yang menyebarkan isu ini, bahawa suspek ‘tidak keseorangan’.

Malah, dia juga tidak menyangka insiden diherdik akan berlaku memandangkan sangat mengenali Amy secara peribadi yang bukan bersikap demikian. 

Meskipun diam sepanjang kontroversi, Rabu lalu Norish memuat naik sebuah hantaran InstaStory bergambar di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam bersama suaminya. 

Namun, dia tidak menyatakan tujuan ke lokasi terbabit sebaliknya hanya bersyukur dapat bertemu kenalan.

Dalam paparan tersebut, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 66, yang terpalit isu mengherdik penyanyi Shila di khalayak ramai tampak ceria di sisi isterinya.

Sepertinya konflik pergaduhan terbabit akan berlarutan dan berpanjangan memandangkan tiada seorang pun yang tampil memohon maaf.

Pergaduhan tersebut sekali gus memburukkan lagi industri hiburan tambahan pula media sosial menjadi tempat netizen bertukar pendapat serta mencetuskan spekulasi. 

Malah, komen-komen dalam media sosial juga sedikit sebanyak menjadi hasutan yang mungkin mencetuskan isu menjadi lebih besar.