Selain bas dan kapal terbang, kereta api juga pilihan terbaik buat mereka yang gemar berehat dan melihat pemandangan sepanjang perjalanan.
Penulis berpeluang merasai sendiri pengalaman berjalan menaiki kereta api menerusi program Famtrip Railway to See Malaysia edisi Segamat dan Kluang yang diadakan sempena pelancaran perkhidmatan tren ETS ke Segamat bermula 15 Mac lalu.
Program anjuran kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan Tourism Johor adalah untuk mempromosikan tahun Melawat Johor 2026.
Menariknya dengan pelancaran tren ETS ke Segamat, pengguna tidak perlu lagi turun dan bertukar tren di stesen Gemas.
Bermula di stesen KL Sentral, perjalanan ke Segamat mengambil masa hampir tiga jam. Pasti ramai yang tertanya-tanya, ada apa dengan Segamat?
Disini penulis menyenaraikan aktiviti dan Lokasi menarik yang boleh dilakukan jika berjalan ke Segamat.
Sebaik tiba di Segamat tidak lengkap rasanya jika tidak menjejakkan kaki di Dataran Segamat yang menjadi mercu tanda Segamat.
Kemudian, boleh bergambar di mural-mural yang menarik di Lorong Seni & Budaya Segamat dan hanya dengan berjalan kaki tidak sampai lima minit anda boleh membasahkan tekak dengan Cendol Segar Amat yang sudah beroperasi sejak 1957.

PENULIS merakam foto kenangan di Lorong Seni & Budaya Segamat yang menjadi tumpuan ramai pelancong.
Tidak ketinggalan boleh berehat dengan merendam kaki atau mandi di Kolam Air Panas, Labis dengan bayaran hanya RM2, sebelum bermalam di Cabin Hills Labis Eco Resort yang sesuai untuk mereka yang gemarkan aktiviti lasak seperti pendakian dan ATV.
Selesai di Segamat, program Famtrip Railway to See Malaysia meneroka daerah Kluang Johor. Kluang Johor pun banyak tempat menarik yang boleh dilawati buat seisi keluarga.

SEKIRANYA menginap di Cabin Hill Labis Eco Resort, pengunjung berpeluang melakukan aktiviti ATV.
UK Farm Agro Resort
Tanah seluar 250 hektar bukan sahaja menempatkan tanaman jagung terbesar Malaysia, tetapi juga ternakan kambing, lembu dan boleh rasai ais krim daripada susu kambing. Pengunjung juga dibawa melawat menaiki trem yang disediakan.
Nasi Briani Warisan Kluang
Menjamah nasi tanpa lauk sudah begitu enak, apatah lagi kami dihidangkan dengan lauk kari kambing dan ayam yang dimasak empuk dan terlerai dari tulang serta acar buah.
Rumah Seni Kluang
Bayaran masuk adalah RM untuk dewasa, RM 8 (kanak-kanak) dan RM10 untuk warga emas serta pelajar.
Kilang Kluang Coffee Cap Televisyen
Tidak sah jika ke Kluang perkena kopi sementelah, Kluang memang dikenali sebagai syurga kopi.
Jika anda penggemar kopi jangan lupa kilang ini bukan sahaja boleh lihat cara pemprosesan kopi dari awal hingga akhir, tapi boleh beli dan rasainya sendiri kesegaran kopinya yang begitu asli dan ‘kaw’.

PENGUNJUNG boleh melihat dari dekat cara pemprosesan kopi dari awal hingga akhir.
Talula Hill Farm Resort
Tempat bermalam sambil menikmati kesegaran alam. Dekorasi dan segala kelengkapan bertaraf lima.
Selain berpeluang melihat bintang, difahamkan semua sayuran yang dihidangkan di resort ini datangnya daripada kebun mereka sendiri dan 100 peratus bebas racun.
Kluang Rail Coffee
Menu dan rasa kopin premis yang terletak bersebelahan stesen Keretapi Kluang ini tidak pernah berubah sejak memulakan operasi pada 1938. Meski datang seawal pukul 9 pagi, pelanggan perlu berbaris panjang untuk mendapatkan meja.
Secara keseluruhan, Segamat dan Kluang memiliki potensi yang besar untuk menarik pelancong kerana nilai sejarah dan keunikkan yang ada di setiap daerah,
Buat mereka yang ingin menaiki tren ke selatan terdapat dua perkhidmatan ETS ke Segamat iaitu tren EG9321 (laluan Butterworth – Segamat) dan juga EG9425 (laluan Padang Besar – Segamat).
Selain daripada itu, terdapat tiga perkhidmatan Ekspres Selatan ke Segamat iaitu tren ES42, ES44 dan ES46 iaitu perjalanan tren bg laluan dr Johor Bahru ke Segamat. – HIBGLAM