Terasa hati ditegur gemuk, Iman Alya turun 7kg

Disebabkan mempunyai masa terluang Alya atau nama lengkapnya Nur Alya Iman Azmil, 24, dapat memberi fokus kepada penjagaan fizikal.

“Dari 70kg ke 63kg dalam masa tiga minggu. Dalam seminggu empat hari saya ‘berkampung’ di gimnasium.

Sebelum ini saya ‘back to back’ ada penggambaran, tiada masa atau hari cuti. Jadi, nak pergi ke gimnasium susah.

“Kali ini, saya cuti panjang dalam tiga minggu jadi saya ambil peluang ini luangkan masa di gimnasium,” katanya kepada HibGlam.

Berkongsi lanjut, anak kepada pelakon Allahyarham Azmil Mustapha tidak menafikan kritikan mengenai bentuk tubuhnya sebelum ini memberi impak sekali gus mendorongnya untuk berubah.

Terasa sikit orang cakap kita gemuk, jadi kita kuruslah.

“Taklah baca komen, kadang-kadang orang cakap dekat kita tapi saya okey saja. Bagi saya tiada apa pun.

“Kita tidak boleh kawal apa orang nak cakap, itu yang memotivasikan saya,” katanya lagi.

Meskipun sibuk di gimnasium, Alya mengakui tidak melakukan diet ketat sebaliknya mengawalpengambilan makanan.

Saya makan saja, orang cakap potong nasi atau karbohidrat tapi tak jalan untuk saya.

“Kalau kawal pun badan saya masih perlukan kelebihan makanan. Saya pun tak potong gula, asalkan saya kawal pengambilan makanan,” ujarnya pada Superstar Tour Anugerah Melodi Terhangat 2025 ke Johor Bahru baru-baru ini.

Selain itu, Alya turut menggunakan khidmat jurulatih peribadi bagi membantunya sepanjang proses menurunkan berat badan.

Bercakap mengenai Anugerah Melodi Terhangat, Alya tercalon dalam dua kategori iaitu Selebriti Trending Terhangat dan Selebriti Newcomer Terhangat.

Anugerah berprestij tersebut akan berlangsung pada 3 Ogos depan secara langsung di TV3 dan secara strim ekslusif menerusi Tonton. – HIBGLAM