Syasya atau nama sebenarnya Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, berkata, komen segelintir netizen disifatkan sebagai biadap dan keterlaluan sehingga tergamak menghinanya.
Berhati-hati dengan apa yang diperkatakan. Nak tegur, silakan tapi biar beradab. Bukan dengan cara menghina atau menjatuhkan maruah orang lain.
“Teguran tak akan sampai bila dibalut dengan caci maki dan untuk peringatan, saya tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa yang melangkaui batas tak sepatutnya,” katanya membalas komen pelayar media sosial.
Perkara tersebut tercetus selepas tular sebuah video memaparkan bekas anggota Dolla itu dipercayai tanpa sengaja terjamah daging khinzir.
Kemudian, dalam ruangan komen terdapat individu yang mengutuk dan menyamakannya dengan haiwan tersebut.
Begitupun, Syasya menjelaskan restoran yang dikunjunginya ketika percutian di China itu mempunyai label halal.
Bahkan tegas ibu kepada seorang anak yang turut ditemani suaminya, Nasrullah Mohd. Sapie, mereka tidak sewenang-wenangnya menikmati hidangan di tempat yang meragukan.
Syasya juga mengakui ketika itu seleranya terus hilang selepas mengetahui perkara sebenar selain trauma berdepan insiden tersebut.
Sedar kekhilafan diri, dia menegaskan sudah mengambil iktibar selain memohon orang ramai mendoakannya agar menjadi muslimah lebih baik. – HIBGLAM