‘Alhamdulillah, okey je’ – Zizi Kirana nafi rumah tangga berantakan

Demikian respons penyanyi, Zizi Kirana menjawab status rumah tangganya dengan suaminya yang juga pelakon Yusuf Bahrin.

Perkara tersebut sekali gus meleraikan teka-teki tentang dakwaan rumah tangga mereka kini sedang bergolak selepas Zizi dan Yusuf dikatakan tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing.

“Waalaikumsalam, doakan baik-baik ya.

“Terima kasih sebab selalu prihatin terhadap saya, sayang kalian semua,” katanya ringkas kepada Kosmo! Online.

Baru-baru ini, rumah tangga Zizi atau nama lengkap Nur Fazelah Mad Tahil, 40, dikatakan bermasalah apabila dilihat kurang memuat naik foto bersama suami.

Kali terakhir memuat naik gambar suami adalah pada 8 Jun lalu sempena sambutan hari lahir Yusuf.

Lebih menimbulkan tanda tanya, hantaran pelantun lagu Eh itu dalam aplikasi Threads baru-baru ini sarat dengan kata-kata berbaur luahan hati dan penuh makna tersirat.

Sebelum ini, Zizi dan Yusuf mendirikan rumah tangga pada 19 September 2021 selepas berkenalan ketika rakaman program hiburan, All Together Now Malaysia. – HIBGLAM