Kata Umie atau nama sebenarnya Umi Khalsum Rahmad Ali, 51, kakaknya terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan kesihatan dan rutin hidup sihat.
“Kakak kita ini degil sikit. Tak reti nak jaga kesihatan. Makan dan tidur selalu lambat, asyik kerja saja. Sebelum ke New Zealand untuk penggambaran, tekanan darah dia tinggi. Risau kita.
“Rasanya saya kena carikan dia jodoh supaya teratur sikit gaya hidup sihat. Ada sesiapa yang masih bujang atau duda yang available?,” katanya menerusi TikTok.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut pantas ditepis Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad Ali, 57, yang menegaskan dirinya langsung tidak berminat mencari pasangan apatah lagi berkahwin semula.
“Bab tekanan darah tu kalian boleh percaya. Tapi bab cari jodoh tu, mengarut. Jangan terpedaya! Dia ingat kakak dia ni umur 19 tahun ke. Gila!
“Semua itu tak akan terjadi! No men, no cry. Tak ada dalam senarai hidup aku untuk cari pengganti,” balasnya.
Menjengah ke ruang komen, Umie sempat menyakat semula selain menyifatkan pelakon Mak Cun itu sebenarnya pemalu, tetapi diam-diam menginginkan jodoh.
“Awak seorang yang pemalu, tapi mahu. Biarkan saya mencarikan jodoh buat awak.
“Awak tenang, okey. Niat saya agar awak dapat jalani hidup sihat lepas kahwin nanti,” ujarnya.
Terdahulu, ramai peminat turut meluahkan kebimbangan terhadap kesihatan Erma Fatima dan menyokong niat baik Umie yang mahukan kakaknya memiliki sistem sokongan emosi dan fizikal yang lebih stabil di usia emas.
Untuk rekod, Erma pernah berkahwin dengan pengarah filem terkenal, Bade Hj. Azmi pada 30 November 1991 dan memiliki lima orang anak angkat namun bercerai secara rasmi pada 19 Ogos 2017. – HIBGLAM