‘Bukan sentiasa cantik, ada je masak dengan rambut serabai’ 

Menjelaskan situasi sebenar, Eyka atau nama penuhnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 30, berkata, ketika itu dia sedang mengejar masa untuk menyediakan makan malam dan mengambil keputusan untuk terus masuk dapur tanpa sempat tukar pakaian.

“Saya memang suka masak, cuma tak adalah setiap kali itu saya bersiap cantik.

Hari tu kebetulan balik kerja dah lambat dan dah sedia ada bersiap, jadi saya terus masak dan rakam video untuk ‘content’.

“Biasanya saya mandi dulu sebelum masuk dapur, tapi bila masa suntuk, saya terus masak je,” katanya.

Malah jelas pelakon drama Cikgu Diva itu, ramai tidak tahu bahawa dia turut memuat naik banyak video masakan lain dalam keadaan lebih santai dan tidak berhias.

Kalau tengok video lain, ada je saya masak dalam keadaan rambut serabai sebab duduk rumah sehari suntuk.

“Bukan setiap masa saya tampil sempurna,” ujarnya.

Terdahulu, Eyka mencuri perhatian netizen selepas memuat naik video memasak ayam masak kicap untuk suami, Akyar Rashid dalam Instagram.

Penampilannya yang bersolek dan berambut kemas mencetuskan pelbagai reaksi termasuk ada mendakwa dirinya terlalu ‘mencuba’ untuk kelihatan cantik meskipun ketika memasak.

Bagaimanapun, terdapat juga peminat yang tampil mempertahankan Eyka dan menyifatkan
aksinya itu tidak sepatutnya dijadikan isu.

Untuk rekod, Eyka sah bergelar isteri kepada pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid pada 2 Mei lalu. – HIBGLAM