‘Singa’ simbolik keberanian Isaac Voo

“Singa merupakan single berbahasa Melayu saya yang menandakan pencapaian penting dalam perjalanan seni serta komitmen untuk mendekati peminat tempatan dan serantau.

“Karya ini terinspirasi daripada simbolik singa dengan mengetengahkan tema kekuatan, keyakinan diri, keberanian dan kepercayaan kepada potensi diri tanpa batasan.

“Gabungan lirik pelbagai bahasa dengan susunan muzik bertenaga tinggi menjadikan Singa cerminan perjalanan saya sebagai artis yang berani menentukan hala tuju sendiri

Menurut penghibur berusia 31 tahun itu, Disember 2025 merupakan bulan yang sangat istimewa dalam hidup dan kerjayanya, sekali gus dipilih sebagai tarikh untuk berkongsi karya terkini.

“Disember adalah bulan yang sangat istimewa buat saya. Menyambut hari lahir dan pada masa yang sama melancarkan Singa merupakan pencapaian peribadi.

“Ini merupakan lagu Melayu kedua saya dan saya amat gembira dapat menghadiahkan lagu ini kepada semua, juga hadiah terbesar buat peminat dan industri yang sentiasa menyokong perjalanan seni saya,” ujarnya.

Anggota kumpulan Korea Selatan SKYE (IN2IT) turut terbuka untuk meneroka bidang lain dalam industri kreatif, bukan sahaja nyanyian, malah bidang lakonan dan peluang seni lain pada masa akan datang.

Dari sudut penerbitan muzik, karya berkenaan dirangka untuk memberi impak dan inspirasi, menjadikannya sebuah lagu berunsur motivasi yang sesuai sebagai pembakar semangat untuk tahun baharu.

Sementara itu, Ketua Bahagian Muzik Prodigee Asia Talent, Cheng Lee, berkata sejak awal lagi, Isaac menunjukkan disiplin, karakter bertenaga dan identiti tersendiri yang bertepatan dengan penghasilan lagu itu.

“Singa mencerminkan kematangannya bukan sahaja dari sudut muzik, bahkan sudut pemikiran sebagai seorang artis yang berani ‘menjual’ bakat hingga ke luar negara.

“Lagu ini melambangkan keyakinan dan kesediaannya melangkah ke tahun 2026 dengan lebih fokus dan tujuan Singa dihasilkan adalah dengan suntikan elemen keberanian dan kekuatan.

“Dari segi susunan muzik hingga penyampaian vokal, semuanya mencerminkan keyakinan diri. Isaac hadir ke studio dengan visi jelas dan aura luar biasa,” katanya. – HIBGLAM