Maafkan saya, terlepas pandang bayar awak – Mimi Lana

Menerusi hantaran dalam Threads, Mimi atau nama sebenarnya Mimi Roziana Zainal Abidin, 31, membalas hantaran Aizat yang dipercayai ditujukan kepadanya.

Dalam hantaran tersebut, Aizat mendedahkan ada seorang selebriti yang masih berhutang RM250 dengannya.

Nampak komen seorang artis ini pada hantaran seseorang ‘boleh la mekap i pula’. Dan, dia hutang aku duit mekap. Dulu aku bagi harga RM250 untuk artis. Lepas tu sampai ke sudah buat lupa. Nak saja balas komen dia. Bayar hutang saya boleh tak? Dah banyak kali bagi peringatan,” tulisnya.

Hantaran tersebut mendapat perhatian Mimi dan dia membalas dengan komen memohon maaf.

“Salam Aizat. Saya nampak Threads awak dan saya tahu awak bercakap tentang saya sebab saya yang komen pada orang tu macam tu. Dan saya masih ingat awak mekap saya beberapa kali dulu.

Maafkan saya, tadi saya periksa mesej awak. Ada satu mesej peringatan daripada awak untuk bayar dari 2019. Saya minta maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki sebab terlepas pandang tentang perkara ini.

“Tetapi terima kasih atas peringatan ini. Jika tidak, saya pun dah tak ingat,” tulisnya.

Tambah pelakon filem Pusaka itu lagi, setakat ini dia belum pernah tidak membayar mana-mana jurusolek dan memohon sekiranya ada bayaran yang belum selesai supaya menghubungi pembantu peribadinya.

“Kalau ada tolong hubungi pembantu peribadi saya. Kadang-kadang ada benda yang saya terlepas pandang. Dan selalunya urusan pembayaran ini dilakukan oleh pembantu peribadi atau pengurus.

Walaupun jumlahnya kecil bagi kami tetapi besar untuk orang yang sudah bekerja. Tak sepatutnya perkara ini berlaku. Maaf sekali lagi dan tolong hubungi pembantu peribadi saya,” tulisnya.

Ramai netizen yang memuji tindakan Mimi yang berani mengaku secara terbuka tentang kesalahannya.

“Dia boleh sahaja mesej secara peribadi kepada Aizat tetapi memilih untuk berdepan secara terbuka. Sangat profesional,” komen netizen.

Selepas pengakuan Mimi, Aizat dilihat telah memadam statusnya dan mendedahkan sudah menyelesaikan masalah mereka secara baik. – HIBGLAM