Dahlia atau nama lengkapnya, Nur Dahlia Ahmad Rizal, 25, berkata pemilik akaun dipercayai individu dikenali itu didapati sengaja menyebarkan tuduhan liar yang tidak berasas.
“Dari dahulu lagi saya sudah cakap saya tak pernah buat rawatan kulit. Orang yang lama ikuti saya pasti tahu saya hanya buat rawatan wajah biasa dan rawatan di bawah mata sahaja.
“Pipi saya memang kekal begini sepenuhnya hasil penjagaan kulit. Terpulang kepada kamu semua nak percaya atau tidak. Kalau tak percaya, tak mengapa.
“Tetapi untuk melemparkan fitnah secara terbuka seolah-olah saya buat rawatan di seluruh wajah menggunakan akaun palsu, itu memang tak boleh diterima,” katanya menerusi laman sosial.
Menerusi hantaran sama, isteri kepada pelakon Imran Aqil itu juga memberi bayangan pemilik akaun palsu terbabit pernah berkomunikasi dengan suaminya.
Dahlia turut berkongsi tangkap layar perbualan individu tersebut yang pernah memberi ucapan tahniah kepada dirinya dan Imran sekali gus tertanya-tanya niat sebenar pihar terbabit.
“Sekejap, saya tak faham. Maca mana awak boleh cakap semua benda itu, tapi dalam diam sebenarnya membenci saya?
“Okey, saya faham saya tak boleh buat semua orang suka saya. Tapi untuk melemparkan fitnah terhadap saya secara terbuka menggunakan akaun palsu awak sendiri, itu memang gila.
“Dalam mesej peribadi ini nampak elok saja, kan?” ujarnya.
Dahlia turut memuat naik tangkap layar perbualan terakhir antaranya dan individu itu bagi menjelaskan situasi sebenar.
“Ini adalah pengakhiran perbualan kami sebab ramai yang ingin tahu apa yang saya balas.
“Tidak, saya belum boleh melupakannya kerana saya masih tidak dapat terima hakikat seseorang yang dikenali suami sanggup menganiaya saya dengan memuat naik hantaran fitnah tanpa bukti.
“Hantaran itu berada lama di media sosial sehingga dia akhirnya terbongkar. Saya yakin jika perkara itu tidak didedahkan, hantaran tersebut tidak akan dipadam dan tiada permohonan maaf dibuat,” ungkapnya..
Kata Dahlia, pada awalnya dia mahu mengambil tindakan undang-undang, tetap membatalkan hal tersebut selepas membuat pertimbangan.
“Saya cuma ingin mengingatkan semua orang bahawa menyebarkan tuduhan palsu tentang saya tanpa bukti adalah tidak wajar.
“Jika mahu menyebarkan fitnah, sekurang-kurangnya guna akaun sebenar dan jika mahu melemparkan kebencian, pastikan anda bukan orang yang rapat dengan ahli keluarga saya kerana itu tidak baik,” tegasnya.
Menegaskan sudah diajukan permohonan maaf, namun dia tidak mampu memaafkan perbuatan tersebut.
“Saya terima permohonan maaf itu, tetapi saya tidak memaafkan dan saya tidak akan melupakannya. Ketika hantaran itu dibuat, jelas tiada langsung memikirkan kesan dan akibatnya.
“Kebiasaannya orang hanya minta maaf apabila mereka tertangkap. Sama ada permohonan maaf itu ikhlas atau tidak, saya sendiri tidak tahu. Apa pun, inilah kenyataannya,” katanya. – HIBGLAM
