Azam Syed Saddiq, pakai baju-T wajah Bella Astillah

Demikian respons Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq mengenai azam tahun baharu 2026.

Paling mencuri perhatian apabila Syed Saddiq berkata azam tersebut akan diketahui keluarganya dan pelakon, Bella Astillah.

“Ya, semua orang ada azam yang tersendiri. Tahun 2025 dan 2026, saya juga ada azam.

“Tetapi itu untuk keluarga Bella dan saya sahaja tahu. Insya-Allah masa itu akan tiba,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai perkara paling penting berlaku dalam hidupnya tahun ini ialah setiap kali bertemu dengan Bella yang disifatkan sebagai wanita luar biasa.

Namun, perkara paling mengejutkan ramai apabila dia memakai baju-t bercorakkan wajah Bella pada bahagian depan.

“Bertemu dengan wanita hebat yang berdiri di sebelah saya ini.

“Tidak susah pun nak jawab ini, kalau tidak saya tak akan berada di sini memakai baju-t memaparkan foto wanita hebat ini.

“Saya kalau ada pom pom, akan angkat pom pom tetapi tiada (beri sokongan kepada Bella).

“Jadi, saya letaklah muka wanita istimewa ini di dada saya,” katanya lagi.

Sementara Bella pula dilihat tersipu malu di sisi pentas sepanjang Syed Saddiq berkongsi pelbagai perkara mengenainya.

Terdahulu, nama Bella dan Syed Saddiq menjadi fenomena sejak tahun lalu sehingga mendapat gelaran sebagai BASS.

Meski tidak pernah mengumumkan sama ada menjalin hubungan istimewa atau tidak, rata-rata peminat mendakwa hari bahagia pasangan tersebut bakal tiba tidak lama lagi.

Terdahulu, Bella pernah mendirikan rumah tangga bersama penyanyi Aliff Aziz pada 9 September 2016, namun bercerai buat kali kedua pada 13 Jun 2023.

Hasil perkongsian hidup itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna yang kini berusia lima tahun. – HIBGLAM