‘Alhamdulillah, akhirnya boleh pulang’ – Shae gagal ke final GV12

Pada konsert minggu ke-11 yang bertemakan International dan Nusantara itu, Shae menyampaikan dua buah lagu iaitu Rosalinda dan Toyol.

Menurut juri tetap Hetty Koes Endang, Shae masih tidak menggunakan suara sebenarnya dalam keseluruhan persembahan.

Disebabkan itu, dia mendapat markah tercorot sebanyak 65 peratus hanya kurang 0.5 peratus daripada rakan senegaranya iaitu Ruri Republik.

Sementara itu, Shae sewaktu menyampaikan ucapan berkata dia bersyukur kerana banyak belajar di pentas GV12.

“Alhamdulillah. Saya akhirnya boleh pulang. Saya banyak belajar di GV daripada juri-juri. Kerana kalian semua saya boleh jadi penyanyi yang lebih baik,” katanya.

Dengan tersingkirnya Shae, maka tinggal enam sahaja peserta yang akan berentap bagi merebut gelaran juara iaitu Iskandar Ishak (Singapura), Mendua (Indonesia), Mark Adam (Filipina), Mell Sakura (Malaysia), Nubhan (Malaysia) dan Ruri Republik (Indonesia). — HIBGLAM