Asmidar atau nama penuhnya Norhasmidar Ahmad, 39, berkata nyanyian masih nombor satu, malah dunia lakonan disifatkan sebagai cabang seni yang berkaitan rapat antara satu sama lain.
“Saya tetap menyanyi, cuma mungkin lebih kepada memenuhi persembahan pentas dan majlis ekslusif yang bukan disiarkan menerusi televisyen.
“Pada masa sama, selepas tayangan filem Enam Jilake arahan Aziz M. Osman pada April lalu, ada beberapa tawaran berlakon drama pula masuk selain Teater Muzikal Paduka Cik Siti.
“Mungkin sebab itu orang ingat saya merajuk. Macam Paduka Cik Siti, pementasan itu sepenuhnya muzikal, jadi bagi saya itu cabaran untuk saya menggunakan suara bagi memantapkan lagi watak Cik Siti Wan Kembang,” katanya kepada HibGlam.
Mengenai Paduka Cik Siti terbitan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), kata Asmidar dia menggalas watak pemimpin wanita yang terkenal pada abad ke-17.
Diarahkan Kamarulzaman Taib atau Che Kem, bekerja dengan produksi terbabit memberi pengalaman baru apatah lagi dapat sepentas dengan aktres senior yang membawa karakter ibunya, Norzizi Zulkifli.
“Apabila pihak produksi mengajukan tawaran ini saya teruja melihat senarai pelakon serta pengarah dan barisan kru kerana bukan calang-calang nama yang bakal merealisasikan pementasan ini.
“Kisah epik yang diangkat juga memerlukan saya bersilat. Sudah pasti menarik dan saya berani menyahut cabaran kerana sebelum ini pernah terbabit dalam muzikal P. Ramlee, Puteri Gunung Ledang, Dendam Laksamana dan Mek Mulong,” ujarnya.
Mendedikasikan tempoh tiga bulan sebagai persediaan dan latihan sebelum pementasan bermula 19 Disember ini, juara Bukan Sekadar Rupa di TV3 pada 2011 mengakui tidak ralat apabila terpaksa menolak beberapa tawaran lain
“Apabila sudah memberikan persetujuan kita kena bagi 100 peratus komitmen tambahan pula menjelang hari pementasan. Apa pun pengorbanan ini berbaloi,” katanya.
Begitupun, penyanyi yang semakin dikenali dengan lagu Melayu Asli dan tradisional itu sedia kembali beraksi di pentas nyanyian sebaik Cik Paduka Siti disempurnakan,” jelasnya.
Asmidar juga menghasilkan single baharu iaitu lagu duet bersama penyanyi Singapura, Ahmadul Amin berjudul Kita Jumpa Lagi dan rakaman semula lagu Biar Sampai Ke Bintang dalam versi keroncong.
Sementara itu, katanya teater muzikal Paduka Cik Siti akan dibuka dengan Malam Gala di Auditorium Tun Azizan Zainul Abidin, Putrajaya pada 19 Disember disusuli tiga lagi pementasan 20 dan 21 Disember ini.
Tiket berharga antara RM40 hingga RM150 boleh ditempah menerusi laman web cloudjoi.com. – HIBGLAM
