Beberapa tahun lalu, Misha atau lebih mesra disapa Kak Mitch pernah meluahkan rasa gusar dan gentar untuk mengadakan konsert solo.
Bimbang jika tiada yang datang, risau jika dirinya tidak lagi relevan. Justeru, dia memilih untuk fokus mengurus keluarga kecilnya.
Sesekali dia hadiahkan bingkisan lagu baharu buat peminat yang merindui suaranya.
Untungnya Misha, setiap karya dendangannya menjadi pilihan penerbit drama tempatan untuk dijadikan runut bunyi.
Selepas tepu mendengar permintaan peminat dan rakan media agar mengadakan konsert, akhirnya tahun lalu Misha memberanikan diri membuka langkah dengan menganjurkan showcase Back To Basic yang berlangsung di Jio Space, Petaling Jaya.
Bermula dari detik itu, Misha semakin yakin masih ramai peminat mahu menonton persembahannya. Maka lahirlah konsert solo besar pertamanya, DiA Misha Omar yang berlangsung di Mega Star Arena Kuala Lumpur pada 29 November lalu.
TAMPIL sempurna, Misha berjaya menambat hati penonton dengan vokal gemersiknya.
Bagi yang sudah menonton showcase tahun lalu, pastinya mereka menantikan konsert besar ini kerana tidak puas berhibur dalam skala kecil. Inilah masanya untuk ‘lepas geram’. Penulis yakin, Misha juga begitu.
Dan terbukti malam itu Misha ‘memuntahkan’ segala kehebatan dan pengalaman sebagai penghibur dalam industri.
Kematangan Misha terserlah, namun tidak sedikit pun merubah nada suaranya yang kedengaran masih sama seperti kemunculan pertamanya dengan lagu Bunga Bunga Cinta.
Vokal istimewa
Ramai peminat sedia maklum diskografi penyanyi yang bakatnya dicungkil menerusi pertandingan Bintang RTM 2001 itu penuh dengan lagu-lagu bermain emosi dan rintihan jiwa.
Lihat sahaja lagu Lilitan Cinta, Halaman Cinta, Dedebu Cinta, Tanpa Rela, Angin Syurga, Terimaku Seadanya, Ku Seru, Pulangkan, Masihkah Ada Rasa Itu, Sampai Bila dan Break, semuanya disampaikan dengan penuh perasaan.
Satu yang mahal tentang Misha Omar adalah penghayatannya dalam setiap lagu. Vokal Misha sangat istimewa, tidak bulat tetapi gemersik dan meresap ke dalam sanubari. Pun begitu, setiap bait lirik yang terpacul dari bibirnya jelas kedengaran satu persatu. Jadi tidak hairanlah mengapa dia layak menggenggam tiga trofi vokal terbaik Anugerah Juara Lagu.
Perkara itu turut diakui sifunya, komposer tersohor Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
Sewaktu sesi tribute untuk Adnan, Misha membuka cerita permulaan perjalanan seninya lebih dua dekad lalu.
“Dulu saya pernah tanya arwah kenapa abang nak saya jadi penyanyi . Arwah jawab, Misha suara kau sebenarnya biasa saja. Tetapi ada satu perasaan dalam suara itu yang bila abang dengar abang akan teringat semua kisah-kisah silam. Jadi abang rasa semua orang pun macam tu bila mereka dengar suara kau mereka akan teringat kisah-kisah sedih mereka,” kongsi Misha.
Dalam segmen tribute itu juga, Misha mendendangkan tiga lagu popular ciptaan Allahyarham Adnan iaitu
Jerat Percintaan dendangan asal Datuk Seri Siti Nurhaliza, Gubahan Rindu Puisi Syahdu (Fauziah Latiff) dan Renungan Terakhir (Datuk Nora Ariffin).
MISHA menyampaikan lagu Jerat Percintaan, Gubahan Rindu Puisi Syahdu dan Renungan Terakhir dalam segmen tribute untuk Allahyarham Adnan Abu Hassan.
Misha berjaya menyampaikan kesemua lagu itu dengan cara tersendiri dan memukau penonton menerusi penghayatannya yang dahsyat sehingga sebak dibuatnya.
Duet dengan anak
Pada malam itu juga Misha turut berduet dengan anaknya, Idris Ezzwa menerusi lagu Inggeris berjudul Destiny.
Sebelum berkongsi pentas, Idris terlebih dahulu menyampaikan persembahan monolog dengan menceritakan kembara seni ibunya.
Ternyata si cilik comel itu berjaya menghiburkan penonton dengan sifat humornya serta kemampuannya untuk menghafal skrip yang sangat panjang. Mungkin kelebihan itu diwarisi daripada ibunya.
Selain lagu solo, Misha turut mengalunkan lagu Sembunyi yang menyaksikannya berduet dengan Andy Flop Poppy sebelum ini dan Terimaku Seadanya (Hafiz Suip)
Namun kedua-dua lagu itu disampaikan secara solo oleh Misha. Sesekali dia menghulur mikrofon ke arah penonton untuk menyanyi bersamanya.
Misha turut mengambil kesempatan mengalunkan karya yang tidak pernah dipersembahkannya sebelum ini seperti Permainan Hati, Untuk Bermimpi dan Sampai Di Sini.
Terputus di tengah jalan
Apa yang menarik tentang konsert ini, setiap lagu mempunyai kisah tersendiri. Dedebu Cinta misalnya, kata Misha lagu itu mengisahkan tentang percintaannya yang terputus di tengah jalan dan lelaki tersebut sekadar ingin berkawan.
“Saya pernah kena ‘friendzone’. Lelaki Itu kata kita masih boleh menjadi kawan. Apo? saya ada ramai kawan lah!,” kongsinya yang mengundang tawa ramai.
DIIRINGI pemuzik hebat, konsert solo Misha berlangsung dengan sempurna.
Sebenarnya untuk penyanyi seperti Misha Omar, dia tidak perlu berlebihan atau menjadi ‘extravaganza’ dalam persembahannya.
Cukup sekadar dia berdiri dan menyanyi dengan penuh perasaan kerana itulah identitinya.Disebabkan mengerti tentang itu, maka Misha memastikan pasukan muziknya terdiri daripada mereka yang hebat.
Susunan muzik kedengaran lebih gah dan tanggungjawab itu digalas pengarah muzik Sze Wan. Jennifer Thompson pula melunaskan mandat selaku penerbit konsert dan Altus Prohouse menjadi pengurus konsert yang dianjurkan Double M Production itu. Datuk Syafinaz Selamat pula bertanggungjawab menjaga vokalnya.
Enggan menghampakan peminat, Misha turun pentas dan membuat kejutan muncul di bahagian tingkat atas. Dia mahu memastikan setiap kategori pembeli tiket dapat merasai pengalaman melihatnya dari dekat.
Seperti yang pernah diberitahunya kepada penulis, kalau boleh dia mahu konsertnya menjadi sesi yang intimasi. Ketika itu dia membayangkan untuk menganjurkan konsert di lokasi lebih kecil.
Namun siapa sangka rezeki Misha apabila berpeluang menganjurkan konsert solo sulung di Mega Star Arena Kuala Lumpur.
Konsert itu boleh dikatakan hampir sempurna tetapi satu perkara yang mungkin menyakitkan mata penulis adalah pemilihan busana yang digayakan Misha.
Sewaktu segmen pertama Misha menggayakan jaket kulit rona hitam agak longgar yang dipadankan dengan bulu pelepah sebagai aksesori di kepala.
Pada hemat penulis, gaya itu kurang sesuai dengan identiti Misha dan lagu-lagu yang dibawakan sewaktu segmen itu.
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa visual juga memainkan peranan penting untuk penonton.
Jika penampilan penyanyi di atas pentas seolah-olah tidak kena, perkara itu sedikit-sebanyak mengganggu konsentrasi penonton dan boleh membunuh ‘feel’.
Misha juga sesekali terlihat tidak selesa dengan busana disarungnya kerana agar besar.
Bakunpersalinan kedua dan ketiga benar-benar menyerlahkan aura sang diva yang pada saya sangat kena dengan pesona Misha Omar.
Wajah Misha dirias sempurna, terpegun melihat kejelitaannya di skrin gergasi.
Secara keseluruhan, konsert DiA Misha Omar merupakan hadiah istimewa yang pastinya meninggalkan kenangan manis buat peminat-peminat Misha Omar yang sudah menunggu sekian lama.
Puas? Sudah tentu. Mahu lagi? Semestinya ya! – HIBGLAM
