Perkara tersebut dikongsikan abang kepada pelakon itu, Samzy Fuzette yang menyatakan mereka dalam perjalanan ke kediaman arwah adik iparnya di Kota Kinabalu.
“Selamat jalan bang,” demikian kapsyen pada tangkap layar berita Bung Moktar yang meninggal dunia pada pukul 1.46 pagi tadi.
Pelakon drama Cucu Cucu Atuk itu turut memuat naik videonya sudah berada di lapangan terbang menunggu penerbangan ke Sabah sekitar pukul 8 pagi tadi.
Begitupun tidak dapat dipastikan sama ada ibu mereka, Khaty Fauziah serta seorang lagi adiknya, Sam atau Shaheizy Sam menaiki pesawat sama.
Usaha HibGlam menghubungi Sam mahupun isterinya juga pelakon, Syatilla Melvin belum berhasil apabila panggilan belum berjawab.
Allahyarham Bung Moktar menghembuskan nafas terakhir pada pagi Jumaat di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.
Perkara itu disahkan anak Allahyarham, Naim Kurniawan Moktar menerusi satu hantaran menerusi Facebook.
Sebelum ini Bung Moktar, 66 tahun dilaporkan menerima rawatan akibat kegagalan fungsi buah pinggang serta jangkitan teruk pada paru-paru.
Allahyarham juga baru mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Likas selepas solat Jumaat, hari ini.
Terdahulu, Zizie dan Bung Moktar mendirikan rumah tangga pada 2009. Mereka dikurniakan lima cahaya mata termasuk dua anak angkat. – HIBGLAM
