‘SA25 simbolik kematangan, rentas beberapa zaman’

Bermacam liku dilaluinya sejak memulakan langkah sebagai penyanyi pada usia 10 tahun.

Bagi meraikan lebih dua dekad bergelumang dalam bidang nyanyian, pemilik nama penuh Nurshahila Amir Amzah itu meluncurkan sebuah album berjudul SA25 yang disifatkan sebagai karya paling bermakna buat dirinya.

Diisi dengan 10 lagu, Shila berkata, SA25 dilihat sebagai satu bentuk jurnal kerjaya seni, selain menjadi ruang berkongsi idea kreatif bersama pemuzik tanah air.

“Sudah lama saya impikan album ini dan akhirnya muncul pada waktu yang tepat, ketika banyak perkara yang baik berlaku dalam hidup saya.

Inilah album yang menceritakan perjalanan karier saya selama 25 tahun.

“Album ini simbolik kepada kematangan saya sebagai anak seni yang kini bebas menentukan karya dan hala tuju kerjaya,” katanya.

SHILA bersama Pengarah Urusan Nova Music, Rosmin Hashim sewaktu pelancaran album baharunya, SA25 baru-baru ini.

Menerusi album ini, Shila bekerjasama dengan ramai komposer berbakat besar antaranya Raja Nazrin Shah, Aubrey Suwito dan Amylea.

“Perjalanan saya dalam dunia seni ini bukan sekejap, sudah lebih dua dekad lamanya.

Saya merentas beberapa zaman. Surat peminat, kaset, compact disc (CD) dan hari ini, digital.

“Tempoh 25 tahun itu saya lalui. Alhamdulillah saya masih di sini dan sentiasa yakin bahawa usaha tidak pernah khianati hasil serta jangan sesekali berputus asa,” katanya pada majlis pelancaran album SA25 baru-baru ini.

Berkongsi mengenai salah satu lagu dalam albumnya iaitu Sirna Hati, Shila berkata, karya tersebut mengangkat isu penderaan fizikal, mental dan kewangan yang pernah dilaluinya sebelum ini.

Kata Shila, album tersebut juga boleh menjadi medium untuk pendengar mencari kekuatan dan ketenangan.

Selalunya suara mangsa jarang didengari, harapnya lagu ini memberi kekuatan kepada mereka yang terperangkap dalam hubungan toksik.

“Menariknya, selepas menulis dan menyanyikannya, segala rasa sakit serta trauma itu perlahan-lahan memudar,” katanya lagi.

Antara lagu yang dimuatkan adalah Kamu, Untukmu, Pernah Punya Aku, Walau Hati Telah Beku, Bersama Mimpi, Tinggal Kenangan serta beberapa karya baharu lain.

Lebih istimewa, Shila turut merakam semula lagu popular Memori Tercipta yang pernah melonjakkan namanya selepas program One In A Million, sebagai hadiah buat peminat yang membesar bersamanya.

BERTAHAN 25 tahun dalam industri membentuk Shila menjadi insan yang matang dan berjiwa kental.

Bercerita mengenai perjalanan seni, penyanyi berusia 35 tahun itu mengakui untuk kekal relevan sepanjang lebih dua dekad tidak mudah bahkan dia juga pernah berada dalam fasa ‘jatuh tersungkur’.

Dia juga mengakui status sebagai anak kepada selebriti memudahkan dirinya dikenali, namun tetap memiliki cabaran tersendiri, termasuk perlu ‘lari’ daripada bayang-bayang populariti bapanya, Datuk ND Lala.

“Saya tak nafikan apabila kita jadi anak artis, memang satu batu loncatan tetapi dalam masa sama, keburukannya adalah kita akan sering dikira macam bayang-bayang.

Orang susah nak ingat nama kita, nama sebenar kita. Orang akan macam, ‘oh anak itu, anak ini. Begitulah. Tapi itulah perjalanan dia. Kita perlu jalani hari-hari itu.

“Namun, sekarang sesiapa pun boleh dikenali melalui platform digital. Ramai berjaya dengan usaha sendiri dan itu menunjukkan bakat tetap boleh menyerlah tanpa bergantung kepada sesiapa,” ujarnya.

Sikap positif dan tidak mudah melatah apabila dihambat kontroversi juga perlu ada dalam diri setiap anak seni dan pendekatan sebegitulah yang dilakukannya sejak dahulu.

“Jadi, lebih kepada tingkatkan rasa bersyukurlah dengan apa kita ada. Sebab dalam kehidupan ini, orang lain pun nak berada dekat kehidupan kita juga. Benda sama saja.

Cuba fikir positif dan banyakkan bersyukur untuk benda-benda kita ada ini sebab akhirnya semua benda bersifat sementara. Memang kita tahu benda itu, semua takkan kekal.

“Jadi apa ada, bersyukurlah seadanya dia. Saya cuba elakkan perkara toksik.

“Kalau saya rasa orang itu lebih baik, kita tak tahu apa dia lalui di sebalik tabir,” katanya. – HIBGLAM