‘Menguruskan Ameena seorang bukan senang, semua ini cabaran’

Menurut Shakilla atau nama penuhnya Nurul Shakilla Mohd. Khoriri, 36, detik tersebut cukup menyentuh naluri keibuannya tatkala mengenang semula tiga tahun ranjau persekolahan puteri kesayangannya itu.

Tiga tahun yang bukan mudah untuk aku dalam dunia sekolah Ameena. Macam-macam berlaku dalam tempoh itu, tapi aku tepis, telan dan hadam supaya dia rasa seronok dengan perjalanan belajarnya dengan kawan-kawan.

“Menguruskan Ameena seorang bukan senang, tapi aku anggap semua sebagai cabaran. Hari ni aku boleh senyum tengok siapa Ameena sekarang.

“Anak yang menyenangkan. Ringan tulang dan suka tolong orang walaupun kadang-kadang macam jadi orang suruhan bila waktu main,” katanya dalam Instagram.

Tambah pelakon Impian Lara itu, mendidik anak dalam suasana dunia moden tidak semudah disangka, apatah lagi perlu mencari keseimbangan antara disiplin, berdikari, hormat-menghormati dan tanggungjawab asas.

“Nak didik anak dalam dunia sekarang bukan senang. Nak seimbangkan hidup berdikari, disiplin, hormat dan tanggungjawab, banyak benda kena ajar.

Tapi insya-Allah, sebagai ibu bapa, kita berjuang untuk fasa ni demi anak-anak. Banyak yang terpaksa dikorbankan,” ujarnya.

Paling penting katanya, pengorbanan demi Ameena terlalu banyak untuk dihitung namun dia tidak pernah berhenti berharap segala usaha itu bakal membuahkan hasil.

“Banyak aku korbankan untuk Ameena. Aku mungkin penat dan kalah sekarang, tapi insya-Allah Tuhan panjangkan doa aku sebagai seorang pendosa untuk Ameena Sofia.

Jadilah anak baik. Perjalanan Ameena masih panjang. Umi tak tahu nak rasa apa, cuma Umi bangga jadi Umi Ameena.

“Hari ini Umi berjuang bukan seorang. Ada ramai di belakang Umi yang menyokong dan ada untuk kita. Terima kasih semua,” luahnya.

Untuk rekod, Shakilla berkahwin dengan penyampai radio Fizi Ali pada 18 Januari 2018 sebelum berpisah pada Disember 2021.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan Ameena yang kini berusia enam tahun.

Shakilla mendirikan rumah tangga baharu bersama Mohd. Fariz pada 24 Februari 2024, manakala Fizi pula menikahi Siti Zulaikha pada 23 Oktober 2023. – HIBGLAM