‘Kenapa lari, kau dengar cerita sebelah sana sahaja’

Kamal atau nama lengkapnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berkata, situasi kini tidak adil baginya apabila Uqasha lebih sanggup berkongsi hal dalaman kepada orang luar berbanding suami sendiri.

Saya rasa benda ini tak adil untuk saya. Kalau kau tak puas hati, kau datang jumpa aku. Kau cakap depan-depan dekat aku sebab kau isteri aku lagi.

“Engkau tak payah nak cerita dekat ‘coach cerai’ sampai lapan jam, boleh duduk dengan orang itu,” katanya ketika ditemui selepas prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.

Pada masa sama, pelakon drama Dia Imamku itu meluahkan kekecewaan terhadap individu bergelar ‘coach cerai’ yang didakwa berat sebelah apabila hanya mempercayai dakwaan dibuat isterinya.

“Lepas itu ‘coach cerai’ setiap kali datang tak pernah pun nak menghadap aku. Kau boleh dengar cerita sebelah sana sahaja.

Datanglah jumpa aku. Aku ada, aku sedia sahaja untuk jumpa dengan engkau. Kenapa kau lari? Pergi cerita dekat podcast apa semua,” ujarnya.

Terdahulu, permohonan cerai difailkan Uqasha pada 1 Oktober lalu masih dalam proses mahkamah dan semalam adalah keputusan Jawatankuasa Pendamai (JKP) membabitkan wakil keluarga.

Begitupun, kedua-dua wakil tidak mendapat kata sepakat selepas Kamal menegaskan masih mahu mempertahankan perkahwinan mereka.

Susulan itu, hakim syariah melantik hakam atau perunding tara dengan sebutan kes dibawa ke tarikh 12 Januari tahun depan.

Pasangan yang mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan. – HIBGLAM