‘Kecil hati, berhabis puluhan ribu belajar buat minyak wangi’

Penampilannya dalam naskhah Setia Hujung Nyawa bersama Nellydia Senrose meledak-ledak menjadikan wajahnya mudah dijadikan pelaris drama.

Karakter lelaki ‘green flag’ dalam drama bersiri berkenaan membawa tuah buat pemilik nama lengkap Amar Asyraf Zailuddin sekali gus memahat namanya sebagai hero kegemaran.

Namun atas pilihan sendiri, dia memperlahankan rentak seni apabila mahu menumpukan perhatian terhadap perniagaan walaupun masih menerima beberapa tawaran.

“Saya tak ada aktif apa-apa pun. Ada orang nak ajak saya mengarah video muzik dan teater tapi saya dah tak buat sebab memang fokus bisnes.

Dahulu saya meniaga juga sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi saya nampak perniagaan tak boleh tinggal. Lagi pun saya lagi puas dekat sini (berniaga).

“Bukan saya tak buat benda-benda kesenian tapi untuk kegunaan syarikat. Kalau orang minta saya buat ‘review’ pun saya tak buat dah,” katanya kepada HibGlam.

PERNAH diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Anugerah Skrin 2015 menerusi drama Dari Pintu Neraka, Amar kini sudah cuci tangan daripada dunia lakonan.

Sebagai pelajar lulusan Akademi Seni Kebangsaan (Aswara), walaupun ada rindu menyapa rasa memujuk agar kembali beraksi, beberapa situasi ketika penggambaran membuatkan Amar mengambil keputusan untuk berhenti demi menjaga batas diri.

“Rindu itu ada tapi memang tak boleh. Malas satu benda, berlakon bukan haram tapi ada masalah di belakang tabir.

Contohnya, ini dalam konteks saya sendiri bukan orang lain. Masa tengah penggambaran yang tak melibatkan saya, tiba-tiba saya terpaksa duduk dalam satu bilik dengan perempuan lain.

“Saya rasa tak boleh, saya takut nanti terjerumus ke benda-benda tak elok, jadi lebih baik saya berhenti terus,” ujarnya lagi.

Meletakkan jeda dalam dunia seni, lelaki berusia 39 tahun itu kini aktif menguruskan perniagaan minyak wanginya bawah jenama House of Amar yang dibangunkan hampir lima tahun lalu.

Kena scam

Sudah resam berniaga, perjalanan perniagaan Amar juga itu tidak sunyi daripada cabaran. Antara dugaan paling besar adalah ditipu hingga menyebabkan kerugian puluhan ribu ringgit.

Saya pernah berhadapan kes penipuan. Kerugian boleh katakan selalu juga, contohnya ‘scammer’ bagi link untuk isi borang tiba-tiba hilang RM20,000.

“Itu paling tinggi yang lain ada juga RM7,000, nasib baik juga penipu ambil dalam akaun kecil dan satu akaun sahaja. Kalau dia ambil semua akaun, habis saya.

“Orang yang buat perkara itu memang kawan saya yang lama tak jumpa. Boleh kata tiap bulan saya menghadapi benda begini, “ujarnya.

MALAS melayan kerenah industri, Amar sebenarnya sanggup berhenti berlakon demi menjaga batas pergaulannya sekali gus mencegah diri daripada terjerumus melakukan perkara tidak senonoh.

Menurut anak jati Melaka itu, kebanyakan penipuan datang daripada individu yang pernah dikenalinya.

“Ingat dia nak berhubung kembali tapi ada udang di sebalik batu. Ramai juga kawan yang saya terpaksa putuskan hubungan.

Maksudnya, saya pesan supaya jangan hubungi saya. Saya cuba mengelak sebab dia berkali-kali minta duit.

“Sebenarnya lagi takut orang yang kita pernah kenal. Dia akan tanya berminat tak untuk buat pelaburan. Saya terjerat sebab dia pernah baik dan tolong saya,” jelasnya lagi.

Selain kes penipuan, Amar turut berdepan kecaman terhadap perniagaan minyak wanginya.

“Tak ada sampai nak menjatuhkan saya tapi biasalah, bila jual sesuatu pasti ada kecaman.

Perniagaan minyak wangi di Malaysia baru nak berkembang, Orang ingat kita bancuh sahaja pati minyak wangi, kadang-kadang saya geram saya cakap juga. Saya berhabis puluh ribu nak belajar buat minyak wangi. Kelas saya bukan murah, satu kelas tiga hari RM5,000.

“Jadi bukan buat minyak wangi ini memandai-mandai saja. Ada teknik kena ikut.

“Kadang-kadang kita bagi kesedaran. Ada jenama lokal kita dah masuk pameran di Dubai. Dia orang Melayu pertama yang masuk Beauty World Dubai,” tuturnya.

Meskipun tampak kuat, dia mengakui terasa hati dengan kecaman yang memperlekehkan usahanya.

“Kadang-kadang kecil hati sebab kita dah tunjuk proses (pembuatan minyak wangi), itu pun kena kecam juga.

“Susah nak mengubah mentaliti orang. Saya rasa memang orang kita suka mengecam.

Orang kita suka cari silap tapi ada juga suka tolong orang. Saya tidak tahulah orang yang sama atau tak, tapi kalau hati tak baik, kata-kata pun tidak baik.

“Tak ada istilah mulut begitu (jahat) tapi hati baik. Memang Rasulullah sendiri dah cakap,” luahnya.

Ditanya sekiranya setiap selebriti perlu mencari pelan sokongan untuk masa depan, Amar tidak menolak perkara tersebut selain menegaskan tanggungjawab keluarga terletak kepada orang lelaki.

“Saya setuju sangat (artis perlu buat back up plan) sebab kalau budaya Jepun mereka memang bekerja sampai umur 95 tahun. Memang mereka pilih begitu.

Budaya kita pula sampai 65 tahun dah pencen. Tapi sebenarnya pandangan saya untuk seorang lelaki perlu bekerja sampai akhir hayat.

“Kalau nak pencen pun kena ada perancangan, perlu bina sesuatu yang diwarisi anak.

“Jadi, kalau berlakon memang memerlukan kita berada di situ tapi kalau bina perniagaan, sekiranya berjaya kita perlu pantau sahaja,” tutupnya. – HIBGLAM