‘Kalian yang pertama, hanya di KL, Jakarta pun belum ada’

Perkara itu diluahkan Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 36, sewaktu berinteraksi bersama peminatnya di pentas showcase Retrospektif : Afgan Live In Kuala Lumpur yang berlangsung di Zepp KL, semalam.

“Alhamdulillah banyak hal-hal baik yang berlaku dalam hidup saya tahun ini. Antaranya dapat bergelar pak haji. Pengalaman itu adalah yang terindah yang pernah saya lalui dalam hidup saya,” katanya.

Selain mengerjakan ibadah haji, Afgan turut meluahkan rasa syukur kerana berjaya menghasilkan album baharu bahasa Indonesia, Retrospektif selepas tujuh tahun.

“Selepas tujuh tahun akhirnya saya mempunyai album baharu bahasa Indonesia lagi tahun ini.

“Dan kalian merupakan yang pertama menonton saya membuat persembahan menyanyikan lagu-lagu di dalam album ini. Hanya di Kuala Lumpur, di Jakarta pun belum ada,” jelasnya.

Tambah penyanyi yang pernah melanjutkan pelajaran di Malaysia itu lagi, sudah lama dia mengimpikan untuk membuat konsert di Zepp KL.

“Saya sangat sukakan tempat ini. Sudah lama berimpian menyanyi di sini dan akhirnya tercapai. Semoga kalian tidak penat berdiri.

“Saya juga hargai semua yang hadir. Saya sangat menyayangi kalian. Peminat Malaysia saya ialah yang terbaik. You made my day, my week, my life,” ujarnya.

Sepanjang dua jam showcase berlangsung, Afgan menghiburkan lebih 2000 peminatnya dengan 25 buah lagu termasuk daripada album baharu dan lagu-lagu popularnya.

Antara lagu yang didendangkan pada malam itu adalah Kacamata, Misteri Dunia, Silakan, Sebentar, Bukan Cinta Biasa, Dia Dia Dia, Masa Iya, Panah Asmara, Jodoh Pasti Bertemu dan Terima Kasih Cinta. – HIBGLAM