‘Kalau ada salah faham, suami akan datang peluk saya dulu’

Menurut Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim, 37,  dalam urusan perniagaan, mereka menekankan keputusan berasaskan data dan bukan emosi dalam setiap urusan perniagaan.
Dalam bisnes, keputusan kena ikut data, bukan ikut perasaan. Kadang saya hendak semua laju, tetapi Hazim hendak detail. Kadang saya tolak, dia tarik. Hal kerja ada naik turun, tapi kami sudah tetapkan satu prinsip.
“Dalam bisnes kita profesional, dalam rumahtangga kita pasangan. Tak boleh campur. Kalau gaduh fasal stok atau pengurusan jenama (Reen Rahim Hygiene Wash atau Quyus), jangan bawa balik ke rumah.
“Kalau penat pasal operasi syarikat, jangan lupa kita ini tetap suami isteri dan bila dua-dua ada visi yang sama, cabaran tu jadi proses belajar, bukan masalah,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Dalam masa sama, pelakon filem Sue-On itu mengakui hubungan mereka sering disulami gurauan nakal yang kadang-kadang terlepas batas, namun tidak pernah sehingga menimbulkan konflik berpanjangan.
 “Biasalah, kami ini kuat menyakat. Kadang gurau jadi terlebih ‘pedas’ sikit, terus dua-dua buat muka. Tapi alhamdulillah, tak pernah sampai tahap merajuk berhari-hari.
Hazim luar nampak garang, tapi dia sebenarnya cepat lembut hati. Kalau ada salah faham, dialah yang akan datang peluk dulu. Saya ini nampak macam singa, tapi sebenarnya kucing.
“Cepat cair bila orang yang saya sayang pujuk. Tetapi betullah, dia lah paling cepat mengalah tapi saya paling cepat cair,” kongsinya.
Berbicara mengenai cara mereka menangani perbezaan pendapat, Reen berkata, ruang bertenang adalah kunci utama sebelum kembali berbincang secara rasional.
“Sebab kalau saya tengah garang manja, Hazim tengah garang juga, memang tak jumpa jalan. Selalu kami ambil masa selepas itu baru kembali berbincang.
“Bagi kami, kalau benda itu tak menjejaskan masa depan, jangan besar-besarkan.
Kadang kita marah sebab penat, bukan sebab tak sayang. Bila sedar benda itu kecil sahaja, kami belajar lepaskan,” katanya.
Reen dan Hazim melangsungkan perkahwinan pada 24 Disember 2022 namun mereka belum dikurniakan rezeki untuk mempunyai cahaya mata. – HIBGLAM