Izinkan saya berduka – Zizie Izette

Pemilik nama lengkap Zizie Izette Abdul Samad itu juga amat berterima kasih kepada arwah teman hidupnya atas kasih sayang serta pengorbanan dilakukan untuk keluarga mereka.

“Izinkan saya berduka malam ini. Inilah insan yang selalu mengalah demi anak-anak, sentiasa berusaha membahagiakan mereka dan juga sesiapa di sekelilingnya.

“Malam ini saya berasa benar-benar hilang arah. Alangkah baiknya jika saya masih diberi sedikit masa untuk memeluknya, untuk beritahunya betapa saya hargai segala kebaikan yang dicurahkan buat keluarga kami.

“Dan untuk mengucapkan terima kasih dengan sebenar-benarnya,” katanya dalam perkongsian meruntun hati di Insta Story.

Dalam hantaran tersebut, ibu kepada lima anak itu turut menyertakan foto kenangan Bung Moktar sedang bergurau senda dengan permata hati mereka ketika mahu mengerjakan solat.

Zizie turut mendedahkan sisi lain lelaki yang dikahwini sejak 16 tahun lalu itu sebagai individu yang sentiasa menjaga hubungan dengan Allah.

“Berhati mulia, suka bersedekah. Seorang yang sentiasa menjaga solat dan sentiasa bertasbih walau di mana dia berada, tak lekang dengan zikir di bibir,” ujarnya.

Terdahulu, negara turut bersedih dengan pemergian Ahli Parlimen Kinabatangan merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah yang menghembuskan nafas terakhir di sebuah hospital swasta, awal pagi semalam.

Allahyarham sebelum itu menerima rawatan akibat kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan teruk pada paru-paru.

Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 2009 dengan dikurniakan lima cahaya mata termasuk dua anak angkat, manakala dengan isteri pertama, Datin Seri Nor Asidah Alimuddin, Allahyarham mempunyai dua anak. – HIBGLAM