Menurut Noki atau nama penuhnya Ahmad Ikhwan Aji, 31, ibu jari tangannya mengalami kecederaan sehingga bengkak.
“Ibu jari tangan kiri saya terlipat ke belakang kerana terkena tendangan Si-yeol ketika sesi latihan di Andong.
Kesannya, ibu jari dan sebahagian tangan saya mengalami bengkak kebiru-biruan,” katanya.
Namun selepas melakukan imbasan X-ray dan menerima satu jarum suntikan menahan sakit, doktor mengesahkan tiada kecederaan teruk dialaminya.
“Doktor menasihatkan untuk berehat dari melakukan sebarang aktiviti berat terutama aksi membabitkan tumbukan.
Buat masa sekarang, saya perlu memakai pembalut tangan dan rehat sekurang-kurangnya dua hari,” katanya lagi.
Ketika ini, dia sedang menjalani penggambaran filem terbaharu berjudul Tiket Sehala terbitan Key Billions Sdn Bhd, arahan Rahila Ali selama sebulan di beberapa lokasi di Korea Selatan.
Filem Tiket Sehala bergenre ‘survival thriller’ yang mengangkat kisah mangsa penipuan kerja di luar negara turut menampilkan Pelakon Harapan Terbaik FFM32, Jaa Suzuran, selain muka baharu, Ainee Mustafa, bekas atlet karate negara, Saha Champ dan penyanyi remaja yang juga anak Raja Pop Malaysia, Datuk Jamal Abdillah iaitu Zaki Yamani.
Pelakon luar negara pula antaranya Ninja dari kumpulan SuperThai, Thailand, Jun Tarzan dari Korea Selatan dan Naufal Samudra dari Indonesia.
Tiket Sehala dijangka ditayangkan di pawagam tempatan pada pertengahan tahun 2026. – HIBGLAM
