‘Gender reveal’ depan Kaabah, Neera Azizi mohon maaf

Neera atau nama lengkapnya Nurazneera Azizi, 27, menjelaskan video tersebut pada asalnya dirakam sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT atas kurniaan cahaya mata tanpa sebarang niat lain.

“Assalamualaikum, hadir dengan rendah diri saya ingin memberi penjelasan berkenaan isu ‘gender reveal’ yang berlegar baru-baru ini.

“Pada awalnya tujuan video tersebut diuat hanya semata-mata sebagai tanda syukur atas kurniaan anugerah Allah SWT dan tidak ada niat lebih daripada itu.

“Ini tidak bermakna kami ingin menegakkan kesalahan yang dibuat. Tanpa sedar, kaedah kami dilihat kurang beradab.

“Saya juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada melakukan kesalahan dan semoga Allah SWT mengampuni dosa setiap daripada kita,” katanya dalam hantaran Instagram.

Berkongsi lanjut, bekas peserta Dewi Remaja 2018/2019 itu menerima segala teguran yang diberikan dengan hati terbuka dan menegaskan isu berkenaan tidak ada kaitan dengan mana-mana pihak agensi pelancongan umrah.

“Terima kasih atas teguran yang diberikan. Apa-apa pun kami terima dengan hati yang terbuka atas teguran dan kami anggap sebagai satu nasihat yang baik.

“Insya-Allah kekhilafan ini tidak akan berulang lagi dan di sini juga saya nak menegaskan isu ini tidak ada berkait dengan mana-mana pihak agensi pelancongan (Umrah). Ini kesalahan diri sendiri,” jelasnya.

Sebelum ini, Neera menerima kecaman hebat selepas berkongsi momen ‘gender reveal’ di hadapan Kaabah iaitu tempat ibadah yang dianggap sangat suci.

Video berkenaan kemudian dipadamkan daripada akaun Instagram miliknya susulan pelbagai reaksi negatif netizen.

Untuk info, Neera mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Hafizi Mohd. Noor pada 11 Julai lalu dan bakal menerima cahaya mata perempuan pada April tahun hadapan. – HIBGLAM