Gambar beberapa tahun lepas, dia ulang benda sama – Kamal Adli

Itu penjelasan pelakon, Kamal Adli sekali gus mengulas foto ditunjukkan isterinya, Uqasha Senrose yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga sepanjang empat tahun perkahwinan mereka.

Kamal atau nama lengkapnya, Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, berkata, gambar didakwa isterinya sebagai bukti kesan kecederaan akibat dikasari adalah gambar lama yang diulang semula.

“Itulah gambar dia tunjuk beberapa tahun lepas. Dia ulang benda sama. Foto itulah juga yang dia tunjuk kepada mak dan bapa saya,” katanya selepas prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hari ini.

Akui Kamal lagi, jika benar tuduhan tersebut, Uqasha sewajarnya memberikan gambar tersebut kepada unit forensik.

“Cuba pergi tunjuk dekat forensik, lebam itu sebab kena pukul ataupun lebam daripada orang yang tahan dipukul? Itu saya nak tahu,” ujarnya.

Pada masa sama, Kamal turut memberi bayangan dirinya melalui situasi kurang menyenangkan, malah menyimpan bukti.

“Saya pun ada gambar-gambar bukti (dikasari) semua itu. Ada kesan kekal (parut) di badan yang saya tak boleh buang.

“Saya juga tak takut dengan laporan polis sebab saya memang tidak pukul. Saya pun dah agak dah benda ini,” katanya.

Terdahulu, Uqasha mendedahkan dirinya didera dan berdepan keganasan rumah tangga dalam tempoh empat tahun bergelar isteri kepada aktor terbabit.

Dalam kenyataannya selepas prosiding Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini, dia mendakwa dikasari termasuk ketika sarat hamil tujuh bulan. – HIBGLAM.