‘Fatiya ‘turning point’ kami bantu lebih ramai selebriti’ 

Menurut Wawa atau nama sebenarnya Nur Hawa Zainal Abidin, 34, pengalaman berkolaborasi bersama pelakon Fatiya Latif menjadi pencetus untuk dia dan suami membantu lebih ramai selebriti.

“Hari kami melakukan sesi ‘live’ bersama Fatiya menjadi ‘turning point’ untuk kami membantu lebih ramai selebriti yang ditimpa kesusahan.

Kami pun sedang senaraikan selebriti-selebriti yang boleh dibantu. Kami memahami situasi mereka kerana kami juga pernah berada dalam situasi yang sama satu ketika dahulu,” katanya ketika ditemui di Majlis Penyerahan Zakat (IMTIYAZ) Lembaga Zakat Selangor, semalam.

Sementara itu Aeril atau Suhairil Sunari, 37, berkata, dia dan Wawa ingin membantu Fatiya bangkit semula kerana aktres itu merupakan satu nama besar dalam industri satu ketika dahulu.

“Fatiya nama besar dalam industri dan dia dikenali ramai. Sebelum ini saya sudah banyak kali beritahu Wawa untuk membantu Fatiya.

Bila dengar kisah dia, sedih sebenarnya. Tetapi tak perlulah saya nak ceritakan kepada semua.

“Diharapkan dengan tawaran membuat sesi ‘live’ bersama kami, dapatlah sedikit sebanyak membantu Fatiya,” jelasnya.

Aeril dan Wawa juga memanjatkan rasa syukur kerana syarikat mereka iaitu Wawa Global Sdn Bhd masih menjadi antara pembayar zakat perniagaan tertinggi di negeri Selangor selama tiga tahun berturut-turut.

Wawa Global Sdn Bhd membayar RM1 juta kepada Lembaga Zakat Selangor untuk diagihkan kepada golongan asnaf yang memerlukan.

“Alhamdulillah tahun ini sekali lagi diberikan rezeki untuk membayar zakat perniagaan sebanyak RM1 juta. Biarpun tahun ini bisnes tidak berapa baik berbanding tahun lalu, tetapi kami tetap mahu membayar jumlah yang sama seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Kejayaan usahawan seperti Datuk Seri Aliff Syukri yang menjadi pembayar zakat perniagaan tertinggi di Selangor memberi inspirasi buat kami agar terus berusaha keras dan membantu lebih ramai golongan yang memerlukan,” kata Aeril. – HIBGLAM