Tidak hanya menghidangkan kehebatan vokal semata-mata, konsert anjuran Strategy X Entertainment Sdn. Bhd. akan menjadi momen bersejarah buat mereka bertiga kerana pertama kali berkongsi pentas di Malaysia.
Menurut Rizky, persembahan mereka pada malam tersebut berbeza dengan yang pernah dilakukan sebelum ini dan paling istimewa ialah nyanyian kolaborasi tiga suara.
“Ini konsert pertama yang gabungkan kami bertiga dan menariknya, diadakan di Malaysia.
“Konsep kali ini segar dan tidak pernah dilakukan di mana-mana acara sebelum ini.
Paling menarik dan perlu disaksikan ialah segmen kami bertiga akan berkolaborasi dan saling bertukar lagu,” katanya.
Ujar Rizky yang kini meledak dengan lagu Alamak berkata. mengadakan konsert berskala besar di Kuala Lumpur sentiasa menjadi perkara paling dinanti-nantikan.
“Ini bukan kali pertama saya ada konsert di sini dan pastinya untuk Malam 3 Suara, ada istimewa yang mahu diberikan kepada peminat.
“Kami sedar bahawa peminat di sini selalu memberikan tenaga luar biasa. Semoga semua yang dirancang berjalan lancar dan beri kepuasan kepada semua pembeli tiket,” ujarnya.
Sementara, Anggi, 23, pula menjanjikan persembahan yang bakal menjentik emosi setiap penonton dengan seleksi lagu galau popularnya.
“Konsert ini bukan hanya malam galau tetapi akan padat dengan rasa gembira.
“Dari segi persiapan, kami sedang menyusun konsep dan susunan baharu yang berbeza daripada persembahan biasa.
“Kalian perlu hadir sebab saya juga akan membawa lagu terbaru yang ditulis oleh Fabio,” ujarnya yang popular menerusi lagu Tak Segampang Itu.
Dalam pada itu, Anggi menambah, konsert Malam 3 Suara bukan pentas individu sebaliknya pentas gabungan tiga penyanyi genre berbeza.
Ini bukan konsert individu atau saling bersaing tetapi semuanya dilakukan bersama-sama.
“Tiada istilah untuk lebih menonjol atau sebagainya, setiap segmen dibahagi secara sama rata,” jelasnya.
Fabio yang memberitahu persiapan sudah mencapai 80 peratus pula memberi bayangan mereka bakal muncul dengan sebuah single kolaborasi selepas konsert tersebut.
“Konsert ini akan jadi buat emosi penonton seperti menaiki ‘roller coaster’ tetapi meninggalkan momen manis buat penonton di Malaysia.
“Lagu juga dipilih berdasarkan yang tular dan paling banyak diminta oleh peminat di Malaysia.
Mungkin selepas konsert akan ada single bertiga, tak boleh nak kongsi banyak cuma minta peminat sabar,” ujarnya yang mahu menikmati nasi tomato di Kuala Lumpur.
Tiket konsert masih boleh didapati menerusi www.ticket2u.com.my/malam3suara yang dijual pada harga bermula RM 188 sehingga RM448.
