Bukan hanya membawa pulang ganjaran wang tunai sebanyak RM3,000 berserta trofi, pemilik nama lengkap, Nur Assyifa Farhana Pawzi, 24, itu teruja dapat ke udara berceloteh dalam saluran radio kegemarannya.
Baginya, peluang keemasan ini umpama impian menjadi kenyataan buat dirinya apabila sebelum ini dia hanya tampil membuat siaran langsung di platform TikTok.
“Ketika menyahut cabaran ini, saya cuma suka-suka hantar video kerana mahu tengok sejauh mana saya dapat gunakan kelebihan bercakap dalam pertandingan ini.
Tak sangka pula lolos di peringkat saringan sehingga akhirnya layak ke malam kemuncak, sekali gus bergelar juara. Sudah tentu dapat bersiaran dengan Era FM impian peserta lain juga.
“Kiranya pengalaman kerap mengadakan ‘live’ dan berinteraksi dengan pengguna lain menggandakan lagi keyakinan,” katanya selepas diumumkan sebagai pemenang pertandingan pencarian penyampai Era FM, baru-baru ini.
DARIPADA ratusan calon yang mengirimkan video berkaitan kebolehan bakat mereka, hanya 30 mara ke fasa pencalonan awal sebelum dikecilkan kepada 12 peserta akhir pencarian penyampai radio Era FM.
Sementara itu, naib juara menjadi milik Ashhrapp yang memenangi wang tunai RM2,000 beserta trofi manakala tempat ketiga dan keempat diraih Aqil Aqasha dan Zeera Azizi.
Masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan RM500 berserta trofi kemenangan.
Naja pula di tempat kelima, menerima wang tunai RM500 dan trofi, disusuli Harezkyol serta Edelyn pada di kedudukan keenam dan ketujuh dengan ganjaran RM300 termasuk trofi kemenangan masing-masing.
Sementara itu pengurus Saluran Era, Azah Sahrin berkata, pertandingan yang kali terakhir diadakan pada 2019 itu merupakan inisiatif untuk memastikan industri radio terus segar, berkembang dan kekal relevan dalam landskap media yang semakin kompetitif.
Pada masa sama, pihaknya gembira apabila pencarian yang sebelum ini melahirkan ramai penyampai berwibawa termasuk Radin dan Munabella meraih maklum balas luar biasa sebaik pertandingan itu diumumkan sekitar Oktober lalu.
“Sudah beberapa tahun kita tidak mengadakan pencarian penyampai sekali gus apabila meraih maklum balas ramai sehingga beratus-ratus calon, ini menunjukkan perkembangan positif.
Hakikatnya ramai anak muda mempunyai bakat sebagai penyampai radio. Cuma kami hanya dapat memilih 12 peserta sahaja untuk ke peringkat akhir.
“Apa pun semua finalis sudah membuktikan keupayaan masing-masing tetapi Der lebih menyerlah untuk diangkat sebagai juara. Peluang ke udara turut terbuka buat pemenang lain, itu akan diumumkan nanti,” ujarnya.
Daripada ratusan calon yang mengirimkan video berkaitan kebolehan bakat mereka, hanya 30 mara ke fasa pencalonan awal sebelum dikecilkan kepada 12 peserta.
Daripada jumlah itu, hanya tujuh finalis mara ke peringkat akhir dan berentap dalam tiga cabaran utama pada malam kemuncak di The Agam, Penchala yang turut diadilii bekas penyampai otai, Seelan Paul sebagai juri. – HIBGLAM
