‘Dirumah dia lembut, tak pernah marah, tinggikan suara’

Demikian personaliti Ketua UMNO Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin seperti digambarkan adik iparnya juga pelakon Shaheizy Sam ketika ditemui media di Masjid Bandaraya Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Katanya, sepanjang 16 tahun berkahwin dengan kakaknya, Datin Seri Zizie Izette, Bung Moktar mempunyai dua sisi berbeza iaitu ahli politik yang lantang di luar tetapi sangat lembut sebagai ketua keluarga.

“Apa yang kita nampak di Parlimen itu bukan dia. Macam mana agresif kita nampak dia ‘pumpang pumpang’, di rumah sikapnya lain.

Nak dengar dia tinggi suara, nak dengar dia marah di rumah memang tak pernah. Saya rasa berbelas tahun ini, apa yang kita nampak dia di parlimen sangat berbeza di rumah.

“Allahuakbar, dia sangat bagus, lembut dengan anak-anak,” katanya yang bergegas ke masjid sejurus tiba dari Kuala Lumpur.

Sam turut menyifatkan Allhayarham sebagai abang ipar yang sempurna selain tokoh politik yang berdedikasi dan sentiasa menyantuni penduduk di kawasannya.

“Itu yang saya cakap, kalau biasa nampak dia di Parlimen mungkin persepsi orang begitu begini.  Di Parlimen dia berbeza.

Apabila saya ikut dia balik kawasan, akan ada datang nak berjumpa dengannya dan dia tak pernah cakap tak boleh.

“Kalau sampai pukul 4 pagi pun dia berjumpa juga dengan orang di kawasan ini (Kinabatangan),” ujarnya.

Ditanya mengenai keadaan Allhayarham sebelum dirawat di sebuah pusat perubatan di Kota Kinabalu, Sam berkata tahap kesihatan abang iparnya itu merosot sejak kempen Pilihan Raya Negeri (PRN), baru-baru ini.

Ketika kempen PRN sudah nampak tak sihat. Kami berjumpa hari terakhir berkempen sebelum mengundi, nampak dia tak macam dulu, nampak penat.

“Setiap kali pilihan raya saya akan datang sokong serta bantu kempen.

“Terkejut bila dengar kesihatan dia betul-betul teruk,” katanya.

Antara pesanan Allahyarham yang sentiasa dipegang Sam adalah sentiasa memuliakan ibu, Khaty Fauziah.

“Apa-apa hal pun, dia kata nak berjaya jaga mak. Itu saja yang paling Sam ingat sampai sekarang,” luahnya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu menghembuskan nafas terakhir pukul 1.46 pagi tadi berikutan kegagalan fungsi buah pinggang dan jangkitan kuman pada paru-parunya. – HIBGLAM